LIGA SUPER MSIA
Nasriq yakin Negeri Sembilan kekal dalam Liga Super
Pertahanan Negeri Sembilan, Nasriq Baharom, percaya skuadnya berada di landasan tepat di bawah kendalian Azraai Khor Abdullah untuk keluar daripada zon penyingkiran Liga Super walaupun mereka sekadar seri 1-1 berdepan Kelantan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, semalam.
Pandangan Nasriq itu adalah berlandaskan aksi yang dipamerkan berdepan Kelantan.
Katanya, walaupun kealpaan pada masa kecederaan menafikan tiga mata berharga buat Negeri Sembilan, secara keseluruhannya skuad Jang tampil lebih berdisiplin dalam permainan.
Iklan
Nasriq yang kali pertama turun dalam kesebelasan utama di bawah kendalian Azraai, turut tampil ampuh mengemudi benteng.
"Mungkin baru sebulan dia (Azraai) bawa pasukan dan kami sekarang ini dalam proses menyesuaikan diri dengan taktikalnya.
"Mungkin memakan masa tetapi ia bukan alasan. Dalam perlawanan hari ini (semalam), ada peningkatan," katanya.
Pandangan Nasriq turut dipersetujui Azraai yang menganggap walaupun kecewa gagal merakam kemenangan, dia yakin Negeri Sembilan kini tampil dengan tahap kecergasan lebih baik.
"Berbanding perlawanan di Pahang lalu (tewas 0-4), kami keletihan waktu itu.
"Alhamdulillah, selepas rehat panjang, sekurang-kurangnya kami boleh lakukan sesuatu. Perlahan-lahan kami boleh perbaiki," kata Azraai.
Must-Watch Video