Skip to main content

Bola Sepak

MSN pilih NFDP, tolak Teong Kim

tt.jpg
“Lim Teong Kim atau Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), hanya satu yang akan diselamatkan.”

Itu tegas Ketua Pengarah, Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, yang turut merujuk aspek kewangan melewati jumlah perbelanjaan yang perlu diteliti semula.

Melihat masalah kekangan kewangan yang dihadapi, hanya satu yang akan diselamatkan.

NFDP menjadi pilihan Shapawi yang menyifatkan ia mampu memberi perubahan kepada landskap bola sepak negara ketika dia melihat kredibiliti Teong Kim mampu diisi dengan nama lain menerusi bajet yang lebih munasabah.

"Bagi saya, program lebih penting. Sama ada memiliki jurulatih yang bagus atau kemudahan yang bagus, itu perkara kedua. Tanpa program, hasil tidak akan dicapai. 

"Jadi, kami akan cuba sebaik mungkin bagi memastikan program pembangunan, bukan sahaja bola sepak, akan berterusan," katanya.

Kontrak Teong Kim akan berakhir 31 Oktober 2019 dengan bayaran gaji sebanyak RM175,000 sebulan begitu besar untuk ditanggung sepenuhnya MSN sejak 2017.

Dalam dua tahun pertama, pembayaran gaji Teong Kim di bawah tanggungjawab MSN sebelum mendapat sokongan penaja tetapi bantuan itu tidak diterima sejak 2017.

MSN terpaksa menanggung sepenuhnya pembayaran gaji Teong Kim, termasuk perbelanjaan tahunan program NFDP, sehingga MSN terpaksa memotong bajet untuk sukan lain.

"Harga yang diletakkan adalah nilai pasarannya ketika di Jerman, jadi kami ketika itu terpaksa bersaing. Kami menerima bantuan daripada penaja pada masa itu untuk membayar gaji Teong Kim tetapi selepas tiga tahun, kami terpaksa menanggung kos itu sendiri," jelasnya.

Advertisement

Must Watch Video