Skip to main content

Bola Sepak

Mourinho sahkan Fellaini jalani pembedahan lutut

marouane-fellaini_ygw57277rg4p11yolpkufvubr.jpg
Marouane Fellaini menghadapi dua bulan rehat selepas menjalani pembedahan pada kecederaan lututnya, demikian pengesahan dibuat pengurus Manchester United, Jose Mourinho.

Fellaini bermain hanya tujuh minit sebagai pemain gantian pada babak kedua sebelum dibawa keluar ketika kekalahan 2-0 United di Tottenham dalam Liga Perdana Inggeris, Khamis lalu.

Kemenangan 2-0 ke atas Huddersfield Town semalam menyaksikan United kembali kepada rentak kemenangan, dengan Mourinho berkata Fellaini mungkin diketepikan sehingga akhir Mac.

"Dia menjalani pembedahan pagi ini (semalam)," kata Mourinho dalam sidang akhbar.

"Saya tidak mahu bercakap terlalu khusus, saya lebih suka doktor memberi maklumat secara rasmi.

"Ia bukan pengakhiran musim baginya, tidak sama sekali. Ini adalah pembedahan kecil di meniscus luarnya dan saya percaya bahawa menjelang akhir Mac nanti dia akan kembali.

"Dan jika dia dapat kembali pada akhir Mac, saya berharap kami masih bermain dalam perlawanan besar pada April dan Mei dalam lebih daripada satu pertandingan."

Bercakap sebelum berkunjung ke Huddersfield, Mourinho menyeru Fellaini untuk menerima tawaran kontrak baru, dengan perjanjian semasanya akan tamat pada akhir musim ini.

Bos United berkenaan berkata pemain antarabangsa Belgium itu -- yang berharap dapat cergas sebelum Piala Dunia -- harus "tandatangan kontrak dan diam", dengan Arsenal, Besiktas dan Paris Saint-Germain antara kelab yang dikaitkan dengan pemain berusia 30 tahun itu.

Advertisement

Must Watch Video