Skip to main content

Bola Sepak

Motivasi jangan mengalah disahut PKNP -- Abu Bakar

pknp-felda-united.png
Buat julung kalinya, PKNP FC berjaya mara ke separuh akhir Piala FA setelah kembali daripada defisit 1-0 untuk menewaskan Felda United 2-1 dalam suku akhir kedua di Stadium Tun Abdul Razak Jengka, malam tadi. 

Menarik nafas lega dan berbangga tentunya pengendali PKNP, Abu Bakar Fadzim.

"Sejarah tersendiri terus dicipta oleh kelab PKNP apabila layak ke separuh akhir Piala FA buat kali pertama. Motivasi daripada saya supaya jangan mengalah, disahut anak buah," katanya.

Nyata, perubahan pendekatan taktikal Abu Bakar dalam perlawanan itu berjaya mengekang serangan lawan, malah turut berjaya menekan dan menghukum pertahanan Felda.

"Sedikit perubahan posisi dan taktikal dilakukan berdasarkan kebolehan pemain. Saya meletakkan Franklin Anzite dan Yeon Gi-sung sebagai sasaran kerana kelebihan fizikal mereka.  

"Ini secara tidak langsung membuka ruang untuk Muhammad Shharel Fikri Md Fauzi dan Mohamad Hafiz Ramdan datang membantu serangan dari belakang.

"Saya ucapkan syabas kepada pemain-pemain. Mereka dapat mengekang serangan bertali arus Felda.  Mungkin juga rezeki PKNP malam tadi," ujar Abu Bakar lagi.

Walaupun seri 2-2 secara agregat, kelebihan jaringan di tempat lawan melayakkan PKNP bertemu Pahang di peringkat separuh akhir nanti.

Advertisement

Must Watch Video