Skip to main content

Bola Sepak

Morata puas bersatu semula dengan Conte

25717alvaro-morata.jpg
Penyerang baru Chelsea, Alvaro Morata, berbesar hati apabila dapat bekerjasama semula dengan bekas pengurusnya di Juventus, Antonio Conte.

Morata melengkapkan perpindahannya dari Real Madrid minggu lalu dengan yuran yang dianggarkan bernilai GBP70 juta (RM390 juta), sekaligus menjadikannya pemain termahal Liga Perdana Inggeris (EPL).

Penyerang Sepanyol itu dibawa ke Juventus pada tahun 2014 oleh Conte, namun ia tidak bertahan lama apabila pengendali berusia 47 tahun itu melepaskan jawatan untuk mengemudi skuad kebangsaan Itali.

April lalu, Morata menjangkakan dia bakal bersama Conte semula tidak kira bila-bila masa dan kini dia sangat gembira untuk meraih peluang itu di England.

“Saya tahu Conte mahukan saya sebelum ini dan saya benar-benar mahu bekerja dengannya,” ujar Morata.

“Ia satu situasi yang sempurna kerana saya membuat keputusan untuk bermain dalam EPL dan untuk pasukan Conte.

“Sedih melihatnya pergi ke skuad Itali pada 2014, namun kini saya perlu bekerja keras untuk pasukan dan juga untuknya,” tambahnya. Morata disahkan akan menggunakan jersi nombor 9 selaku penyerang utama di Stamford Bridge dan dia amat berbangga dapat menyarung jersi yang pernah disarung oleh rakan senegara, Fernando Torres.

“Ketika kecil, saya melihat beberapa pemain hebat di sini seperti Didier Drogba, Andriy Shevchenko dan Fernando Torres sambil memasang impian untuk beraksi di sini satu hari nanti,” katanya.

Morata menjuarai dua Liga Juara-Juara Eropah (UCL) bersama Real Madrid selain memenangi kejuaraan LaLiga pada musim lepas di bawah kendalian Zinedine Zidane.

Advertisement

Must Watch Video