Skip to main content

Bola Sepak

Montella: Sevilla perlu "bunuh" Sanchez

21218montella.jpg
Vincenzo Montella bergurau bahawa harapan terbaik Sevilla untuk mengekang bintang Manchester United, Alexis Sanchez, adalah dengan "membunuhnya".

Sevilla akan menerima kunjungan United dalam aksi pertama pusingan kalah mati Liga Juara-Juara (UCL) di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan, awal pagi esok.

Perlawanan tersebut bakal menyaksikan Sanchez membuat penampilan pertama dalam kejohanan ini selepas berhijrah ke United dari Arsenal bulan lalu.

Sanchez melakukan bantuan jaringan ketika United meraih kemenangan 2-0 ke atas Huddersfield Town pada Sabtu lalu dan dilihat sebagai tunjang jentera serangan skuad kendalian Jose Mourinho itu.

Montella mencadangkan Sevilla bakal menghadapi kesukaran untuk mengekang gerakan bekas pemain Barcelona itu.

"Mungkin kami perlu bunuh Sanchez," kata Montella.

"Saya mengingati Sanchez sejak dia beraksi di Itali (bersama Udinese). Dia telah banyak meningkatkan mutu permainannya dan menjadi salah seorang pemain berkualiti."

Montella turut memuji Mourinho, dengan menyifatkan pengurus United itu sebagai seorang "perintis" yang amat diminatinya.

"Saya tidak tahu berapa banyak Mourinho telah mengendalikan pasukan dalam kejohanan ini. Mungkin lebih daripada 100 tetapi kami akan bersedia menghadapi perlawanan ini.

"Saya teruja berdepan Mourinho. Saya telah membaca bukunya, mengkaji gaya permainannya. Beliau merupakan seorang pengendali yang perlu dikaji," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video