LIGUE 1
Monaco mahu Mbappe kekal
Pengendali AS Monaco, Leonardo Jardim, berharap agar penyerang muda sensasi, Kylian Mbappe, akan kekal bersama pasukannya walaupun sedar impiannya itu sukar.
Mbappe menjadi rebutan banyak kelab besar seperti Real Madrid dan Arsenal selepas membantu skuad Les Monegasques memenangi kejuaraan Ligue 1 serta layak ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim lalu.
Namun, ramai bekas pemain telah menyuarakan pendapat bahawa ia mungkin terlalu awal untuk Mbappe meninggalkan pasukannya.
Iklan
Bagi Jardim yang telah kehilangan Bernardo Silva selepas pemain sayap Portugal itu berhijrah ke Manchester City awal bulan ini, dia amat berharap bintang berusia 18 tahun itu kekal bersama skuad kendaliannya dalam usaha untuk mempertahankan kejuaraan liga yang dimenangi musim ini.
“Saya tidak bercakap dengannya kerana dia tahu bagaimana kami bekerja tetapi kami mahu dia kekal di sini,” kata Jardim.
“Kelab dan Mbappe akan mencapai kata sepakat yang bakal memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak,” tambahnya.
Jardim juga menambah, selain Mbappe, dia juga mahu mengekalkan beberapa pemain lain yang turut menarik minat pasukan-pasukan ternama Eropah.
“Bukan sahaja saya, malah semua jurulatih mahu mengekalkan pemain yang terbaik.
“Dalam struktur akademi Monaco, agak sukar untuk mengekalkan pemain, namun kami akan tetap berusaha untuk mencungkil bakat-bakat baru di masa akan datang,” ujarnya.
Must-Watch Video