LIGA PERDANA MSIA
Misi Sabah kutip mata maksimum di gelanggang lawan
Pasukan Sabah menetapkan misi untuk mengutip mata maksimum dalam dua aksi di gelanggang lawan, minggu depan.
Pengendalinya, Jelius Ating, berkata dua aksi itu bertemu UKM FC dan Pulau Pinang penting bagi menentukan kedudukan mereka dalam liga.
"Kami telah kehilangan dua mata di gelanggang sendiri ketika bertemu pendahulu liga, Felda United, tempoh hari dan sudah pasti kami mahu mengutip mata penuh dalam aksi seterusnya walaupun di gelanggang lawan.
Iklan
"Dua aksi ini sama pentingnya dengan perlawanan-perlawanan lalu. Kami mahu mencatat kemenangan, seterusnya mengukuhkan kedudukan kami dalam liga.
"Bagaimanapun, kami tidak memandang mudah cabaran pasukan lawan kerana siapapun yang kami akan jumpa, kami hormati.UKM FC dan Pulau Pinang bukanlah pasukan lemah," katanya.
Sabah yang kini berada di tangga ketiga liga akan bertemu UKM FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang petang ini dan seterusnya menentang Pulau Pinang di Stadium Batu Kawan, Sabtu ini.
Jelius berkata beliau 'menerbangkan' 18 pemainnya untuk menghadapi dua perlawanan di gelanggang lawan itu dan mereka juga akan terus ke Pulau Pinang selepas aksi bertemu UKM FC.
"Pemain lain yang tidak dibawa dalam aksi bertemu UKM FC akan terus menjalani latihan di Kota Kinabalu dan bersedia untuk dipanggil pada bila-bila masa menjelang aksi bertemu Pulau Pinang," katanya.
Must-Watch Video