Skip to main content

Bola Sepak

MISC-MIFA syak pasukan lain turut terlibat rasuah

datuk-t-mohan.jpg
Presiden Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA), Datuk T. Mohan, mengesyaki beberapa pasukan lain turut terbabit selepas tiga pemainnya ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas tuduhan rasuah hingga mencecah RM30,000.

SPRM menahan seorang pemain import dan dua pemain tempatan atas tuduhan menerima rasuah sejak beberapa tahun lalu.

Mereka dikenakan tahanan reman hingga 12 April depan selepas SPRM mengambil keterangan mereka di Putrajaya.

MISC-MIFA sendiri yang membuat aduan kepada SPRM selepas menjalankan siasatan dalaman.

Apa yang mengecewakan, pasukan Liga Perdana ini tidak pernah gagal membayar gaji pemain dan pegawai pasukan, namun tetap dipalit isu rasuah.

"Kami pastikan gaji mereka dibayar mengikut masa. 

"Kami menyediakan rumah untuk setiap pemain, tidak kira tempatan atau import, termasuk makan. Segala kemudahan kami sediakan," jelas Mohan.

MISC-MIFA kini menghuni tangga ke-10 daripada 12 pasukan dalam Liga Perdana.

Mereka menang dua daripada lapan perlawanan setakat ini dan bolos 23 gol.

Bekas juara Piala FAM 2016 ini akan mengadakan mesyuarat sebelum bertemu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam masa terdekat untuk membincangkan langkah pencegahan bagi masa depan.

"Pasukan lain juga terlibat dengan kes 'bookie' ini, bukan sahaja MIFA.

"Kadang-kala saya hairan, ada di kalangan mereka ini yang duduk di bahagian 'grandstand' meskipun mereka ini tiada kaitan dengan bola sepak," tambah Mohan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, memberi jaminan pihaknya bakal memberi kerjasama dalam membantu SPRM berhubung kes rasuah melibatkan tiga pemain terbabit.

FAM, yang mengambil serius kes ini, mengharapkan pengakhiran yang adil jika mereka terbukti bersalah.

Ini bagi memastikan perkara sama tidak berulang di kemudian hari yang akhirnya boleh menjatuhkan reputasi sukan bola sepak negara.

Bagaimanapun, Hamidin tidak mendapat sebarang makluman daripada SPRM jika masih terdapat pasukan lain yang terlibat dalam kes sama.

"FAM telah maklumkan kepada Jabatan Integriti untuk membuka fail bagi bekerjasama dengan SPRM ekoran ada beberapa perkara yang tidak boleh didedahkan.

"Tetapi FAM sudah tentu menyokong penuh tindakan SPRM bagi memastikan bola sepak negara bebas daripada gejala mengatur perlawanan," jelasnya.
 

Advertisement

Must Watch Video