PIALA DUNIA
Mikel sembunyikan berita penculikan bapanya
Ketua pasukan Nigeria, John Obi Mikel, mendedahkan dia tetap meneruskan aksi Piala Dunia 2018 menentang Argentina meskipun mengetahui bahawa bapanya telah diculik.
Bapa kepada pemain berusia 31 tahun itu, Pa Michael Obi, telah diseksa selama seminggu sebelum polis membebaskannya daripada penculik yang menuntut wang tebusan daripada kapten Nigeria berkenaan dan mengugut bapanya akan dibunuh sekiranya dia melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.
Mikel memberitahu The Guardian bahawa dia merancang untuk menarik diri daripada perlawanan terbabit, sebaliknya memilih untuk beraksi dalam kekalahan 1-2 itu tanpa memberitahu jurulatih Nigeria, Gernot Rohr, mengenai penculikan bapanya supaya berita itu tidak mengganggu persiapan pasukan.
Iklan
"Saya bermain tatkala bapa saya berada di tangan penyangak," kata Mikel. "Saya terpaksa menanggung trauma.
"Saya mendapat panggilan telefon empat jam sebelum sepak mula untuk memberitahu saya apa yang telah berlaku.
"Secara emosinya saya terkejut dan saya terpaksa membuat keputusan sama ada bersedia secara mental untuk beraksi. Saya keliru, saya tidak tahu apa yang perlu dilakukan tetapi pada akhirnya, saya tahu bahawa saya tidak boleh membiarkan 180 juta rakyat Nigeria kecewa.
"Saya terpaksa mengetepikannya untuk mewakili negara saya terlebih dahulu."
Ayah Mikel pernah diculik sebelum ini pada 2011. Dia diculik di Lebuhraya Makurdi-Enugu ketika dalam perjalanan dari Jos untuk menghadiri satu majlis pengebumian.
Dia diberi rawatan kecemasan di hospital selepas dibebaskan dan Mikel berterima kasih kepada perkhidmatan kecemasan kerana datang untuk menyelamatkannya.
"Saya tidak dapat memaklumkan kepada jurulatih atau kakitangan NFF (Persatuan Bolasepak Nigeria) dan hanya rakan-rakan yang rapat yang tahu," kata bekas bintang Chelsea itu yang kini mewakili kelab China, Tianjin Teda.
"Saya diberitahu bahawa mereka akan menembak ayah saya jika saya melaporkan kepada pihak berkuasa atau memberitahu sesiapa.
"Saya juga tidak mahu membincangkannya dengan jurulatih kerana saya tidak mahu masalah saya menjadi gangguan kepada beliau atau mereka yang terlibat di dalam pasukan sempena pertemuan getir itu. Kalau boleh, saya ingin berbincang dengan jurulatih tetapi saya tidak dapat melakukannya.
"Syukurlah, ayah saya selamat dibebaskan pada petang Isnin, saya berterima kasih kepada pihak polis atas usaha menyelamat mereka serta sokongan yang saya terima daripada rakan-rakan dan ahli keluarga."
Must-Watch Video