Skip to main content

Bola Sepak

MFL Challenge Cup: PDRM harungi minggu penuh kejutan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

selangor-v-pdrm.jpg
PDRM ternyata tidak berada di tahap terbaik ketika gagal bangkit yang menyaksikan mereka tewas di tangan Selangor dalam perlawanan akhir kedua MFL Challenge Cup di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi. 

Penolong jurulatih PDRM, Eddy Gapil, berkata isu pasukan dijatuhkan hukuman secara mengejut selepas perlawanan separuh akhir pertama dan kehilangan ketua jurulatih, P Maniam, yang direhatkan sedikit sebanyak membunuh sisa perjuangan Sang Saka Biru.

"Perkara berlaku pantas dalam satu masa, kami kehilangan jurulatih dan kami dihukum. Saya akui ia memberikan kesan kepada pasukan.

"Ia sesuatu yang mengejutkan dan saya ada dua hari untuk menyiapkan pasukan (apabila perlu mengambil alih tugas daripada P Maniam). Apa yang kami dah rancang dengan ketua jurulatih, saya teruskan kerana saya tidak ada masa cukup untuk ubah taktikal," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Dalam perlawanan akhir pertama, PDRM tewas tipis 2-3 kepada Selangor yang menyaksikan mereka mempunyai peluang untuk bangkit pada aksi akhir kedua tersebut.

Namun, mereka dijatuhkan hukuman selepas menurunkan pemain yang tidak boleh beraksi akibat digantung perlawanan sekali gus menyaksikan Selangor diberikan kemenangan 3-0.
 

Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga, pasukan juga terpaksa melupakan khidmat Maniam apabila difahamkan direhatkan selepas insiden tersebut.

Dalam perlawanan akhir kedua itu, Selangor  berjaya membelasah PDRM  4-0 sekali gus muncul juara Piala Cabaran dengan agregat 7-0.

Mengulas mengenai perlawanan tersebut, dia mengakui PDRM serba tidak menjadi selepas turut kehilangan penyerang utama mereka, Ifedayo Olusegun, sehingga mencacatkan jentera serangan pasukan.

"Saya akui memang ada perbezaan besar berbanding perlawanan pertama. Kami tidak dapat turunkan pasukan terbaik dengan kecederaan Ifedayo.

"Kami agak ketara lemah di bahagian tengah dan serangan. Seterusnya, kami dihukum dengan dua gol awal selain layangan kad merah (kepada Muhammad Eizrul Ashraf Nor Effendy) membunuh semangat pemain," katanya.

Kredit: Sinar Harian 

Advertisement

Must Watch Video