Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Messi berdarah mulut angkara Ramos

lionel-messi.jpg
Lionel Messi berdarah di dalam mulutnya selepas pergeseran dengan pertahanan Real Madrid, Sergio Ramos, dalam aksi El Clasico di Santiago Bernabeu awal pagi tadi, demikian dakwa Gerard Pique.

Pengulas beIN Sports, Jose Mourinho, turut mencadangkan kapten Real Madrid itu sengaja memukul Messi sejurus sebelum rehat separuh masa pertama.

Ramos, yang tidak asing dengan kontroversi disiplin, sebaliknya menafikan dengan sengaja mencederakan bintang Barcelona itu.

Messi dan Ramos terbabit dalam satu pergeseran dalam separuh masa pertama kemenangan 1-0 Barca itu, yang menjarakkan skuad bimbingan Ernesto Valverde itu 10 mata di tangga teratas carta LaLiga.

Ramos menolak bola melepasi Messi tapi seakan-akan menghayun tangannya ke muka kapten Barca itu, yang menunjukkan rasa berangnya kepada pegawai perlawanan, tetapi pertahanan Real itu terlepas sebarang hukuman.

Bekas pengurus Real, Jose Mourinho, menggunakan penampilannya sebagai pengulas perlawanan itu untuk beIN SPORTS sebagai mencadangkan Ramos sengaja memukul Messi untuk menaikkan kembali semangat rakan-rakan sepasukannya.

Ramos menafikan melakukan itu dalam temu bual selepas perlawanan tetapi pemain Barca, Pique, amat jelas dengan siapa yang harus dipersalahkan.

“Leo berdarah di dalam mulutnya. Ia jelas satu kekasaran,” tegasnya.

"Saya mempunyai hubungan baik dengan pemain-pemain Real Madrid. Tapi apabila anda memasuki padang, anda mempertahankan lencana pasukan anda dan ia mencetuskan persaingan sengit.

"Tapi sejurus berakhir perlawanan, kemesraan tetap wujud, pemain-pemain mereka sangat menghormati kami,” katanya sambil menambah Barca berada di landasan sepatutnya untuk mengekalkan kejuaraan.

Mourinho pula mengulas: “Saya fikir tindakan Sergio Ramos itu barangkali datangnya daripada seorang pemain yang tahu permainan harus berubah.

“Dan dia mungkin melakukannya dengan niat mewujudkan suasana berbeza dalam separuh masa kedua kerana permainan sehingga peringkat itu adalah agak ‘lembut’.”

Ramos, bagaimanapun, mempertahankan dia tidak bersalah.

“Saya tidak berniat untuk menghayun tangan ke muka Messi tapi dia tidak dapat menerima hakikat itu,” katanya kepada Movistar. 

Advertisement

Must Watch Video