LIGA SUPER MSIA
Menang di Kota Bharu penting untuk menyaingi Kedah, JDT -- Dollah
Ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh menyifatkan perubahan formasi yang dilakukan dalam separuh masa kedua menjadi titik perubahan dalam usaha Pahang menjaringkan gol untuk membawa pulang tiga mata berharga dalam saingan sengit menentang tuan rumah, Kelantan, di Stadium Sultan Mohammed Ke-IV, malam tadi.
“Dalam separuh masa pertama, Pahang bermain baik dan menguasai permainan tetapi masih gagal menjaringkan gol. Kami masih mengharapkan Alves (Matheus Alves Leandro), (Mohamadou) Sumareh atau Wan Zaharulnizam (Wan Zakaria) untuk menjaringkan gol tanpa ada bantuan pemain lain.
“Alhamdulillah, dalam separuh masa kedua, saya (beritahu pemain) supaya perlu ada dua atau tiga pemain di dalam kawasan kotak penalti Kelantan apabila menyerang. Pemain berjaya melakukan perubahan dan akhirnya selepas satu gol, kami berjaya menjaringkan satu gol lagi,” katanya.
Iklan
Dollah juga menyifatkan kemenangan ke atas Kelantan amat penting untuk membolehkan skuad Tok Gajah terus memberi cabaran kepada Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perebutan takhta Liga Super.
“Memang, kemenangan ini sangat penting kepada Pahang kerana kalau gagal mendapatkan tiga mata penuh di sini (Kota Bharu), kami akan ketinggalan dengan pasukan Kedah dan JDT,” katanya.
Ditanya mengenai perlawanan berikutnya menentang Selangor, Dollah belum mahu memikirkannya,sebaliknya menjelaskan misi mendapatkan tiga mata di Kota Bharu berjaya dilaksanakan.
“Saya nak rehat dahulu. Balik ini barulah saya fikirkan tentang pertemuan dengan Selangor. Misi saya di Kelantan sudah habis. Mungkin ada sedikit perubahan taktikal nanti (bertemu Selangor),” katanya.
Kemenangan ke atas Kelantan malam tadi membolehkan Pahang kembali ke puncak Liga Super dengan 19 mata hasil daripada enam kemenangan dan sekali seri.
Must-Watch Video