RENCANA
Membedah 100 perlawanan Andres Iniesta di Vissel Kobe
Ketika Andres Iniesta mengumumkan kedatangan beliau ke Vissel Kobe pada 2018 silam, ia disambut dengan begitu meriah oleh bukan sahaja peminat kelab tersebut, malah juga seantero dunia bola sepak yang turut sama mengucapkan ‘selamat’ kepada El Ilusionista del Barcelona ini.
Bahawa Iniesta ialah seorang pemain tanpa pembenci adalah satu perkara yang luar biasa. Beliau datang dari era Barcelona yang penuh gilang-gemilang, seharusnya beliau mempunyai pembenci yang ramai. Apatah lagi, beliau juaga adalah salah satu wakil dari dekad El Clasico paling berapi-api (2008-2018) dan dengan segala rasa toksik di kalangan bola sepak moden, selayaknya banyak yang memandang sinis terhadap pemain berstatus begitu.
Tapi di sinilah istimewanya Iniesta. Beliau amat unik dan tersendiri. Tidak pernah berkata banyak walaupun pada satu ketika menjadi ketua pasukan, sentiasa memilih untuk ‘bercakap’ melalui skilnya, sangat tenang, tidak banyak kontroversi dan memenangi segala-galanya. Sungguh, beliau ialah pemain yang berada di kelas tersendiri; satu kelas yang dipenuhi lagenda-lagenda seperti Maldini, Buffon, Xavi, Casillas, Adams sebagai ‘lagenda bola sepak berperibadi sempurna.’
Iklan
Ramai yang beranggapan Vissel Kobe ialah cara Iniesta memerah kontrak terakhir kariernya sambil menikmati matahari Jepun. Namun semuanya salah, Iniesta di Kobe adalah untuk bola sepak dan beliau seakan-akan cuba membina satu tempoh yang cemerlang dan kukuh di sana. Bersempena dengan 100 penampilan Iniesta bersama Vissel Kobe, kita bedah ringkas perjalanan beliau di sana setakat ini.
Fasa Awal
Tiba di tahun 2018 selepas satu musim yang menyaksikan Barcelona memperoleh ‘double’ di peringkat domestik, Iniesta membuka mata seluruh peminat bola sepak Jepun. Seakan tidak percaya ahli silap mata bolasepak dunia kini di sana, peminat Vissel Kobe menyambut beliau dengan sangat hangat. Dan Iniesta membalas dengan persembahan yang amat memukau.
Debut beliau tidak berakhir baik, masuk sebagai pemain gantian dalam perlawanan yang menyaksikan Kobe kalah 0-3 kepada Shonan Bellmare. Tapi beliau bangkit seminggu kemudian, menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan yang berakhir 2-1 ketika menentang Jubilo Iwata.
Ada yang mendakwa Vissel Kobe terlalu mencuba dalam menyesuaikan permainan mereka dengan Iniesta. Iniesta sangat sinonim dengan hantaran pendek dan penguasaan ala Barcelona. Secara drastik, statistik menunjukkan Vissel Kobe lebih menguasai perlawanan, kadang kala segingga 60% dominasi bola. Ia menunjukkan impak segera yang dibawa Iniesta, walaupun permainan mereka masih belum sempurna, setidaknya ia adalah satu perubahan positif.
Mentaliti Pemenang
Pembaca yang sekaligus pengamat tegar J-League pasti setuju jika penulis menyatakan bahawa amat sukar untuk kita temui perlawanan dimana Iniesta bermain dengan buruk sejak bersama Kobe. Entah itu bertitik-tolak dari piawaian bola sepak beliau yang terlalu tinggi sehingga ia terlalu mudah untuk beliau atau ia adalah hasil kerja keras beliau, itu masih belum dapat dipastikan.
Yang jelas, dalam setiap perlawanan Iniesta tidak pernah nampak seperti beliau harus memberi 100%. Pada tahap 80% sahaja, beliau sudah nampak seperti pemain terbaik di atas padang. Di sesetengah permainan, ia ibarat seperti ‘The Andres Iniesta Show.’ Tanya saja kepada penyokong JDT, mereka pasti faham benar setelah merasai sendiri saktinya skil Iniesta di peringkat Asian Champions League. Mereka dibelasah 5-1, dengan Iniesta mendaftar dua bantuan gol serta mendapat anugerah pemain terbaik perlawanan di saat beliau tidak langsung keluar dari gear 3.
Hasil keyakinan dan mentaliti pemenang yang dibekalkan Iniesta, Vissel Kobe mula menunjukkan peningkatan. Dari hanya pasukan pertengahan, mereka menjuarai Emperor’s Cup 2019 dan juga layak ke Asian Champions League 2020 sebelum dihambat pandemik COVID-19.
Kecederaan dan ‘Comeback’
Pun begitu, khidmat Iniesta di Kobe juga ada titik hitamnya. Selain bergelut dengan masalah pangkal peha di awal penyertaanya, beliau tidak diketepikan begitu lama. Sehinggalah ketika perlawanan Champions League menentang Shanghai SIPG, beliau mengalami kecederaan peha yang serius. Beberapa hari selepas itu, beliau dihantar pulang ke Barcelona untuk menjalani pembedahan.
Namun, sejak kembalinya beliau di dalam pasukan, Iniesta mempamerkan sentyuhan seolah-olah kecederaan itu tidak pernah berlaku. Dan bukan satu kebetulan juga, Vissel merana dengan keputusan terumbang-ambing bila beliau tiada dan kini bangkit lagi hasil inspirasi kapten pasukan mereka.
Hasilnya? Iniesta dinobatkan pemain terbaik bulan November 2021 di J-League . Ia hasil dari pencapaian beliau bermain kesemua enam perlawanan, empat gol dijaringkan, tiga bantuan jaringan beserta lapan peluang dicipta. Setelah beberapa bulan dibuai suram, penyokong Vissel Kobe kembali tersenyum dan mereka sedar bahawa untuk senyuman tersebut diukir, mereka harus berterima kasih kepada Don Andres dengan segudang skil yang dimilikinya.
Rumusan
Iniesta menandatangani lanjutan kontrak dua musim pada Oktober lalu, bermakna kita di Asia meruntung mempunyai seorang lagenda sebesar beliau masih bermain pada tahap tertinggi di benua kita. Dengan prestasi semasa dan potensi yang ada pada skuad Vissel Kobe ketika ini, pastinya mereka mahu menghadiahkan sesuatu atas jasa Iniesta kepada mereka. Ia tidak lain dan tidak bukan ialah gelaran J-League, yang mana Iniesta sendiri akan berjuang habis-habisan untuk memenanginya. Kerana beliau adalah pemenang yang selalu mampu untuk memilih cara untuk memenangi sesuatu kejuaraan.
Must-Watch Video