Skip to main content

Bola Sepak

Melaka ikat Selangor, JDT bangkit di Larkin

melaka-unitede7e6be0a3d81604aa734ff0000212b38.jpg

Misi memburu kemenangan kedua berturut-turut Selangor disekat pendatang baru Liga Super, Melaka United, apabila pertemuan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang berkesudahan seri 1-1, malam ini.

Melaka turun beraksi buat kali pertama sesudah perlawanannya berdepan Kelantan minggu lalu  terpaksa ditunda susulan padang Stadium Sultan Muhammad IV terjejas oleh hujan lebat.

Selangor -- yang dilihat mampu meneruskan rentak kemenangan susulan kemenangan 2-0 ke atas Pulau Pinang minggu lalu --  berpeluang berada di depan pada babak pertama menerusi percubaan S. Veenod, namun diselamatkan penjaga gol Melaka, Badrulzaman Abd Halim.

Anak buah P. Maniam meneruskan asakan pada babak kedua dan hampir di depan menerusi percubaan Adam Nor Azlin dan import, Forkey Doe, tetapi sekali lagi digagalkan Badrulzaman.

Ketika The Red Giants leka menyerang, Melaka sebaliknya berjaya memecah kebuntuan hasil sumbangan Muhammad Khairul Azrin pada minit ke-69.

Import Romania, Victor Astafei, menjadi penyelamat Selangor apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-81.

Sementara itu, penyandang juara Liga Super, Johor Darul Ta'azim (JDT) bangkit daripada kekecewaan minggu lalu untuk melakar kemenangan 3-1 ke atas Felda United di Larkin.

JDT tewas 5-4 menerusi sepakan penalti dalam aksi Piala Sumbangsih berdepan Kedah selepas terikat 1-1, minggu lalu.

Meskipun ketinggalan seawal minit ke-22 menerusi gol penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha, JDT bangkit dengan gol penyamaan empat minit kemudian menerusi Fadhli Shas.

Felda yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-59 susulan Hasni Zaidi dilayangkan kad merah, membuka peluang buat JDT meledak gol kedua dan ketiga perlawanan menerusi import, Gonzalo Cabrera dan Brian Ferreira.

Keputusan lain:

PKNS FC 1 KELANTAN 3

KEDAH 3 SARAWAK 2

PAHANG 5 T-TEAM 0

PULAU PINANG 0 PERAK 1



Advertisement

Must Watch Video