Skip to main content

Bola Sepak

Melaka, Felda United kutip tiga mata pertama

melaka-united.jpg
Melaka United bangkit daripada kekalahan 2-0 kepada Kedah dalam aksi pertama Kumpulan C, Piala Malaysia, Selasa lalu, dengan menjadikan Kelantan sebagai mangsa dalam kemenangan selesa 3-0 di Stadium Hang Jebat, malam ini.

Ketika bertandang ke Darulaman, Selasa lalu, Melaka dikecewakan dengan gol Sandro da Silva serta Baddrol Bakthiar.

Bagaimanapun, sekembalinya di laman sendiri, skuad kendalian Eduardo Almeida itu bangkit dengan aksi tersusun untuk mengutip tiga mata pertama.

Melaka mendahului 2-0 dalam babak pertama hasil jaringan Marko Simic (m-20) dan R. Surendran (m-29) sebelum Fauzi Roslan melengkapkan gol ketiga beberapa minit sebaik bermula babak kedua.

Sementara itu, Felda United turut mengutip tiga mata pertama malam ini setelah menewaskan PKNS FC 2-1 di Shah Alam.

PKNS -- yang dikendalikan pemangku jurulatih, Adam Abdullah, setelah E. Elavarasan direhatkan -- dikejutkan seawal minit kelima menerusi gol Zah Rahan Krangar.

Pemain import Liberia itu menewaskan penjaga gol PKNS, Zamir Selamat, setelah menyempurnakan hantaran kemas Stuart James.

Bagaimanapun, PKNS kembali bernyawa dengan jaringan penyamaan Patrick Ronaldinho Wleh di hujung babak pertama.

Tatkala perlawanan dilihat bakal berakhir dengan seri, penyerang import Brazil, Thiago Augusto Fernandes, muncul wira The Fighters apabila meledak gol kemenangan hasil gandingan bersama Zah Rahan pada minit ke-88.

Keputusan lain:

Sarawak 1-2 Selangor


 

Advertisement

Must Watch Video