Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Mbappe: Janggal untuk berdepan Henry di samping Belgium

thierry-henry.jpg
Kylian Mbappe mengakui ia akan menjadi situasi yang janggal menyaksikan idolanya, Thierry Henry, membantu Belgium berdepan Perancis dalam misi merebut slot ke final Piala Dunia.

Henry -- juara dunia pada edisi 1998 bersama Les Bleus -- mendapati dirinya dalam kedudukan yang pelik ketika aksi separuh akhir di St Petersburg kerana beliau turut merencanakan strategi untuk menewaskan negaranya sendiri.

Bekas penyerang Arsenal itu telah membantu pengendali Belgium, Roberto Martinez, sejak 2016 dan mampu memberikan maklumat penting kepada pasukan yang telah diwakilinya sebanyak 123 kali itu.

Mbappe, yang menggemari corak permainan Henry, menjangkakan perasaan yang bercampur-baur buat kedua-dua pasukan.

"Ia akan menjadi satu situasi yang janggal melihat Henry bersama Belgium. Saya sangat mengaguminya," kata Mbappe.

"Saya menghormati Henry, dia memberikan inspirasi kepada saya.

"Beliau merupakan seorang bekas pemain Perancis tetapi akan bersama pasukan lawan untuk aksi ini," ujarnya.

Mbappe adalah antara bintang yang menyinar buat Perancis di Russia, dengan menjaringkan tiga gol dan menampilkan aksi-aksi yang memberangsangkan ketika menyingkirkan Argentina dalam pusingan 16.

Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) itu menyatakan skuad kendalian Didier Deschamps itu memiliki semangat yang tinggi untuk kembali ke final sejak kali terakhir melakukannya pada 2006.

"Kami tidak sabar untuk menampilkan persembahan yang mantap berdepan Belgium. Kami yakin mampu mengatasi mereka."
 

Advertisement

Must Watch Video