Skip to main content

Bola Sepak

Mbappe dapat kad merah selepas ledak gol lewat

mbappe.jpg
NIMES 2 PARIS SAINT-GERMAIN 4

Kylian Mbappe mengakui dia perlu mengawal kemarahannya tetapi tidak kesal kerana menolak Teji Savanier yang mendorongnya dikenakan kad merah dalam kemenangan 4-2 Paris Saint-Germain (PSG) ke atas Nimes, awal pagi tadi. 


Pemain berusia 19 tahun itu menjaringkan gol ketiga PSG untuk meletakkan mereka kembali di hadapan dalam satu pertarungan dramatik selepas Nimes mendahului 2-0.

Begitupun, insiden dalam masa kecederaan ekoran reaksinya terhadap terjahan Savanier menyebabkan kedua-dua pemain diperintahkan keluar padang. 

Penyerang Perancis itu memberitahu layanan kasar oleh pertahanan Nimes adalah biasa bagi pasukan dalam Ligue 1 untuk mengekangnya, sebaliknya meminta maaf kepada penyokong kerana digantung perlawanan. 

"Ia sudah lama dipendam. Ia bola sepak," kata Mbappe kepada wartawan.

"Saya perlu belajar apabila bermain di kelab seperti ini. Saya melepaskan geram kerana secara berterusan mendapat layanan seperti ini pada setiap hujung minggu. Saya akan mengumpul beberapa kad merah sekiranya gagal mengendalikannya. 

"Tidak, saya tidak kesal dan sekiranya sekali lagi berlaku, saya akan mengulanginya. 

"Dan saya akan meminta maaf kepada penyokong dan semua orang tetapi saya tidak boleh bertolak- ansur dengan jenis tindakan seperti itu."

Mbappe telah diberi amaran dalam separuh masa pertama kerana menendang bola sepakan percuma yang diberikan kepada Nimes sambil meluahkan sesuatu kepada pengadil, Jerome Brisard.

Tidak lama selepas itu, Neymar bercakap kepada Mbappe bagi menenangkan pemain remaja berkenaan sejurus permainan bersambung setelah beberapa kali menerima terjahan keras.

Mbappe membidas terjahan keras Savanier pada minit ke-94 itu dengan berkata: "Di mana kami bermain bola, tiada masalah tetapi di sini mereka tiada niat untuk bermain bola sepak. 

"Tetapi, tidak mengapa, saya akan ke suruhanjaya itu dan akan mempertahankan diri saya.

"Saya fikir tindakan seperti itu tidak mempunyai tempat dalam bola sepak, namun itu tidak penting, pengadil telah membuat pilihan dan seperti yang saya katakan, kami mesti bangkit.

"Paris Saint-Germain lebih baik daripada semua pasukan, begitu juga kami."

Advertisement

Must Watch Video