Skip to main content

Bola Sepak

Mbappe akui penyudah Monaco tidak cukup klinikal

mbappe-040517.jpg
Kylian Mbappe berasakan AS Monaco terpaksa membayar harga yang mahal susulan membazirkan deretan peluang dalam aksi Liga Juara-Juara apabila tunduk kepada Juventus, awal pagi tadi. 

Jaguh Ligue 1 itu tumbang 2-0 dalam pertemuan pertama separuh akhir yang menyaksikan Gonzalo Higuain menjaringkan kedua-dua gol buat pasukan pelawat.

Skuad bimbingan Leonardo Jardim itu telah membuat permulaan yang baik, namun Mbappe dua kali dinafikan oleh Gianluigi Buffon sebelum gol pembukaan Higuain.

Radamel Falcao dan pemain gantian, Valere Germain, juga telah digagalkan oleh Buffon selepas rehat, dan Mbappe berasa kegagalan pasukannya untuk beraksi klinikal di depan gawang membuktikan bahawa Juve berjaya mengambil kesempatan daripada peluang terhad yang mereka miliki.

"Kami bukannya cetek pengalaman tetapi yang paling penting sekali adalah kami tidak cukup klinikal di hadapan gol," kata Mbappe seperti yang dipetik oleh UEFA.

"Kami mencipta banyak peluang dan hanya tidak mengambil kesempatan itu. Sebaliknya, Juventus mempunyai dua peluang terbuka dan menjaringkan dua gol. Kami perlu belajar daripada ini.

"Buffon membuat beberapa aksi menyelamat dalam perlawanan itu. Mudah-mudahan kami dapat menjaringkan gol dalam perlawanan kedua.

"Ia adalah satu pengalaman yang baik untuk kami. Kami bekerja keras setiap hari untuk menentang pemain bereputasi besar dan ini akan membolehkan kami untuk maju dengan lebih cepat."

Rakan sepasukannya, Fabinho dan Bernardo Silva, kedua-duanya menekankan bahawa perjuangan mereka belum lagi berakhir menjelang perlawanan kedua di Turin, minggu depan. 

Fabinho berkata: "Mereka adalah lebih baik dan berhak untuk menang. Namun, kami akan memberikan segala-galanya.

"Anda tidak boleh mengetepikan peluang kami berdasarkan jentera serangan yang kami miliki."

Silva berkata: "Bukan mudah untuk mencari ruang ke atas salah satu pasukan terbaik di Eropah. Ia akan menjadi sangat sukar sekarang tetapi tiada apa yang mustahil.."
 

Advertisement

Must Watch Video