Skip to main content

Bola Sepak

Masih banyak perlu diperbaiki -- Durakovic

mehmet-sea_1.jpg
"Masih banyak yang perlu dilakukan pemain untuk mencapai kesempurnaan. Kerja keras dan kerjasama setiap anggota pasukan penting ke arah mencapai matlamat itu," ungkap ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic ,walaupun The Bos Gaurus cemerlang di peringkat awal kempen Liga Super musim ini.

Jelasnya lagi, walaupun meningkat dan berjaya mengutip empat mata daripada dua perlawanan hasil kunjungan ke tempat lawan, beliau tetap berasakan pasukan belum lagi sempurna dan masih ada ruang untuk meningkat.
 
"Namun saya bangga dengan semangat yang dipamerkan pemain. Mereka saling bantu-membantu dan ini mewujudkan persefahaman yang tinggi antara mereka walaupun berhadapan dengan pasukan elit seperti Pahang dan Kedah," katanya.

Selepas berkelana ke Kuantan pada 4 Februari lalu dan kemudian Alor Setar tiga hari kemudian, pasukan The Bos Gaurus akhirnya berpeluang beraksi di halaman sendiri apabila melayani kunjungan PKNS FC di Stadium Lumut, malam esok.
   
"Dua perlawanan di tempat lawan memang menyukarkan kami.  Kali ini kami akan bermain di tempat sendiri.  Cuma malang buat pasukan, mereka akan beraksi di stadium kosong tanpa peminat.  

"Oleh itu, nasihat saya kepada pemain, jangan memandang mudah perlawanan ini kalau tidak mahu ditimpa masalah," ujarnya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenakan denda ke atas kes kelakuan penonton dan penganjuran perlawanan terhadap Perak atas kesalahan yang berlaku dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2017 ketika Perak menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Perak, Ipoh.

Advertisement

Must Watch Video