Skip to main content

Advertisement

Bola Sepak

Masalah dalaman tidak jejas semangat pemain - Jelius

img-20180718-wa0024.jpg
Pengendali Sabah, Jelius Ating, tetap berpuas hati dengan persembahan anak buahnya ketika mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan Pulau Pinang di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.

Di sebalik beberapa masalah dalaman yang dihadapi pasukan itu, pemain tetap menunjukkan semangat juang tinggi serta berusaha untuk mencatat kemenangan.

Bagaimanapun , jurulatih berusia 47 tahun itu enggan mengulas lanjut masalah yang dihadapi pasukan itu, sebaliknya berkata ia timbul berikutan keadaan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) yang tidak begitu stabil ketika ini.

"Seperti yang anda sedia maklum, persatuan kini masih belum stabil berikutan peletakan jawatan pucuk pimpinannya dan saya akui ia turut memberi kesan kepada pasukan.

"Bagaimanapun, di sebalik masalah yang kita hadapi, saya sangat kagum dengan semangat pemain, mereka masih bersungguh-sungguh di atas padang.

"Kita lihat keinginan pemain untuk mencatat kemenangan malam tadi, malangnya beberapa peluang kami tidak disempurnakan dengan baik, " katanya ketika ditemui selepas aksi bertemu Pulau Pinang.

Dalam perlawanan itu, Sang Badak sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan skuad Harimau Kumbang walaupun mereka memiliki beberapa peluang baik untuk menghasilkan jaringan.

Sementara itu, Jelius berkata sasaran mereka seterusnya adalah bagi memenangi dua baki perlawanan bagi menjamin tempat ke Piala Malaysia serta mendapat kedudukan lebih baik dalam liga.

"Kami semakin hampir untuk beraksi dalam Piala Malaysia selepas beberapa tahun gagal untuk layak. Saya harap tahun ini kami akan kembali (beraksi dalam Piala Malaysia).

"Sejak saya mengambil alih pasukan ini pertengahan musim lalu, pasukan Sabah telah mula menunjukkan peningkatan, terutama pada musim ini.

"Antara kejayaan kami termasuk beberapa pemain dipanggil untuk menyertai pasukan kebangsaan dan setakat ini dua pemain kami juga telah terpilih sebagai pemain terbaik bulanan Liga Perdana. Jika layak ke Piala Malaysia, ia satu lagi kejayaan bagi kami, " tambahnya.

Keputusan seri malam tadi menyaksikan Sabah naik satu anak tangga untuk memintas PDRM di kedudukan keempat selepas pasukan berkenaan tewas 2-1 di tangan UiTM FC, malam tadi.

Dua pasukan berkenaan kini berkongsi 25 mata, namun Sabah memiliki kelebihan jaringan untuk mengatasi PDRM.

Secara matematik, Sabah boleh dikatakan telah layak ke Piala Malaysia selepas mendahului tiga mata terhadap pencabar terdekat mereka, iaitu UiTM FC, yang kini di kedudukan ketujuh dengan 22 mata.

Bagaimanapun, UiTM FC hanya memiliki baki satu perlawanan serta ketinggalan dari segi jumlah jaringan berbanding Sabah manakala satu lagi pasukan, iaitu Johor Darul Ta'zim II (JDT II), yang kini di kedudukan keenam dengan 24 mata tidak akan memberi kesan kepada kelayakan Sabah untuk beraksi dalam Piala Malaysia kerana pasukan berkenaan berstatus 'feeder club'.

Advertisement

Must Watch Video