Skip to main content

Bola Sepak

Masa untuk cipta sejarah baru -- Klopp

jurgen-klopp_4.jpg
Jurgen Klopp mencabar Liverpool agar mencoret sejarah baru menjelang aksi suku akhir pertama berdepan Manchester City dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), esok.

Seteru Liga Perdana Inggeris (EPL) itu akan bertembung di Anfield awal esok pagi, dengan aksi timbal balik akan berlangsung di Stadium Etihad, minggu depan.

Hanya dipisahkan dengan satu kemenangan untuk muncul juara EPL dan telah memenangai Piala EFL, City berpeluang untuk menyempurnakan 'treble' jika mereka menakluki Eropah musim ini.

Bagaimanapun, Liverpool kekal sebagai satu-satunya pasukan yang pernah menewaskan City musim ini pada Januari lalu dalam perlawanan yang berkesudahan 4-3.

"Kelab ini telah penuh dengan sejarah, kini kami perlu tulis sejarah kami sendiri," kata Klopp.

"Kami perlu berbangga dengan sejarah kelab tetapi perlu menghasilkan sesuatu untuk diri kami. Pemain-pemain sudah bersedia untuk mencipta kemenangan," katanya.

Klopp mengesahkan Joel Matip direhatkan hingga penghujung musim kerana mengalami kecederaan paha manakala Ragnar Klavan tidak dapat diturunkan dalam aksi di laman sendiri, yang bermakna Dejan Lovren bakal bergandingan dengan Virgil van Dijk.

Emre Can turut terlepas aksi ini, dengan pemain tengah itu masih lagi bergelut mendapatkan kecergasan terbaik selepas pulih daripada kecederaan belakang ketika menang ke atas Watford, bulan lalu.

"Dia telah menjalani latiha, tetapi kami tidak mahu tergesa-gesa menurunkannya," ujarnya. 

Klopp memiliki rekod yang mantap berdepan Guardiola, dengan memenangi enam daripada 12 perlawanan tetapi menegaskan ia bukan penentu untuk perlawanan ini.

"Saya tidak pernah tewaskan Guardiola – pasukan saya yang melakukannya. Rekod itu tidak penting. Apa-apa boleh berlaku dalam bola sepak," katanya lagi.

Advertisement

Must Watch Video