Skip to main content

Bola Sepak

Marcote kecewa terpaksa 'bertahan' dengan 10 pemain

jdt-set-piece.jpg
Jurulatih Kedah, Ramon Marcote, terkilan tewas 2-1 dalam Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi. 

Benar, skuad Hijau Kuning itu gagal menyaingi keampuhan JDT. Namun, jika ada budi bicara oleh pengadil perlawanan, Mohd Zohri Tajuddin, sebelum JDT mencetak gol pada babak kedua, jurulatih itu berasakan keadaan mungkin berubah. 

"Ketika itu, kami bermain dengan 10 pemain menentang 11 pemain JDT. Ini kerana pengadil mengarahkan supaya Baddrol (Bakhtiar) berada di tepi padang. 

"Mungkin kami tidak akan dibolosi (jika bukan) akibat beraksi dengan kekurangan seorang pemain ketika menghadapi situasi bola mati di depan pintu gol," katanya. 

Ketua pasukan Lang Merah, Baddrol, diarah keluar padang kerana mengalami pendarahan di bahagian muka dan dalam masa yang sama, permainan tidak dihentikan pengadil. 

Hal itu secara tidak langsung memberi kelebihan kepada tuan rumah, yang terbukti dengan jaringan kedua pasukan itu terhasil ketika Baddrol masih berada di luar padang kerana menukar jersi yang dipakainya. 

"Baddrol diarah menukar jersinya," jelas Marcote. "Dia hanya perlukan seminit untuk berbuat demikian sebelum dibenarkan masuk semula ke dalam padang. 

"Tidak ada apa yang mahu diperkatakan lagi, saya tidak mahu berdalih," tambahnya.

Sementara itu, pemain sayap Lang Merah, Syazwan Zainon, akur JDT bijak memanfaatkan peluang terhidang: "Bukan rezeki Kedah untuk menang. 

"45 minit pertama kami bermain dengan baik, kami bermula lembab pada permulaan babak kedua dan kembali mendapat rentak pada penghujung perlawanan tetapi sudah terlambat."

Penjaga gol, Ifwat Akmal Che Kassim, pula menuntut rakan sepasukannya agar memperkemaskan benteng mereka.

"Dari segi menyerang, kami bagus. 

"Apapun, kami perlu memperbaiki kelemahan, terutama situasi bola mati, kami gagal mencabar pemain lawan," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video