Skip to main content

Bola Sepak

Maguire, Alli bawa England ke separuh akhir

mcguire.jpg
SWEDEN 0 ENGLAND 2 

Harry Maguire dan Dele Alli menemui sentuhan penyudah ketika England menempah tempat dalam separuh akhir Piala Dunia buat kali pertama sejak 1990 dengan mengalahkan Sweden 2-0, sebentar tadi. 


Maguire dan Alli masing-masing menyumbat gol pada setiap babak di Samara untuk membawa skuad The Three Lions ke babak empat terbaik dan mereka akan menghadapi sama ada Croatia atau tuan rumah, Russia, yang akan berhitung awal pagi ini. 

England mendominasi permainan selepas bermula dengan rentak perlahan, Maguire menjaringkan gol daripada sepakan sudut sayap kiri, Ashley Young, selepas setengah jam aksi berlangsung untuk meletakkan pasukan kendalian Gareth Southgate itu di landasan kemenangan. 

Jordan Pickford kemudian bertindak cemerlang dengan menyelamatkan percubaan Marcus Berg dan Viktor Claesson manakala Alli menggandakan kedudukan England apabila pemain tengah itu menanduk masuk lambungan Jesse Lingard.

Biarpun pendahulu senarai penjaring Piala Dunia 2018, Harry Kane, dikawal rapi, England menyekat laluan Sweden untuk meneruskan kejayaan penentuan penalti mereka menentang Colombia dengan kemenangan yang lebih selesa.

Sweden, yang lolos ke peringkat suku akhir dalam tiga daripada empat kempen terakhir, gagal menemui jawapan untuk menembusi pintu gol The Three Lions yang dikawal Pickford.

Claesson menepis percubaan berbahaya pertama perlawanan pada minit ke-12 untuk tambah menghangatkan perlawanan selepas kedua-dua pasukan mempamerkan aksi gemuruh pada awal permainan. 

Raheem Sterling kemudian membuat umpanan kepada calon Kasut Emas di Russia, Kane, yang melepaskan rembatan liar untuk England -- yang beraksi dalam suku akhir Piala Dunia pertama mereka sejak 2006 -- mula selesa mengatur rentak.

Dan mereka mendahului pada minit ke-30 menerusi jaringan kelapan temasya Russia 2018 daripada situasi bola mati. 

Sepakan sudut Young menemui Maguire untuk meledak gol antarabangsa sulungnya sambil penjaga gol, Robin Olsen dan Ola Toivonen, tidak berdaya untuk menyekat tandukan padu pertahanan tersebut.

Bendera ofsaid menyelamatkan Sterling daripada dimalukan susulan kegagalannya memuktamadkan hantaran jarak jauh Kieran Trippier disusuli lorongan Jordan Henderson.

Olsen pada awalnya mempamerkan kehandalannya untuk menafikan percubaan Sterling yang kemudian meluru untuk tindakan susulan sehingga memaksa Andreas Granqvist membuat halangan. 

Pickford dituntut untuk membuat aksi menyelamat pertamanya sebaik perlawanan bersambung. Dia merebahkan badan ke sebelah kiri untuk menguis tandukan Berg, yang melonjak tinggi untuk mengatasi Young yang berkawal di penjuru pintu golnya.

Ketangkasan itu terbukti menjadi titik tolak perlawanan apabila England kembali menggegar gawang pada minit ke-58.

England sekali lagi mencetuskan panik buat Sweden dalam situasi sepakan percuma dan Jesse Lingard bijak melakukan hantaran tinggi selepas Sweden cuba keluar daripada situasi itu, namun Alli membuat keputusan tepat melepasi ofsaid untuk menanduk masuk gol kedua pasukannya. 

Pickford terus mempamerkan kehebatannya dengan menyekat usaha Claesson selepas bergandingan baik dengan Berg sebelum jurulatih Sweden, Janne Andersson, beralih kepada John Guidetti di bangku simpanan.

Guidetti membentuk gandingan berbahaya dengan Berg pada minit ke-71, bagaimanapun Pickford sudah bersedia untuk rekod bersih pertamanya dalam kempen ini dengan menolak keluar rembatan itu. 

Dengan England semakin selesa pada penghujung perlawanan, Henderson -- berisiko digantung dalam separuh akhir -- digantikan oleh Eric Dier untuk barisan kendalian Southgate itu mula mengalihkan tumpuan kepada cabaran seterusnya di Moscow nanti. 

Advertisement

Must Watch Video