Skip to main content

Bola Sepak

Lukaku: Sudah lama Pogba 'pancing' saya

25717pogbalukaku.jpg
Pemain termahal dunia, Paul Pogba, kini boleh dilabelkan sebagai antara pemain yang berkebolehan tinggi dalam bermain dengan minda seseorang.

Manchester United berjaya menyaingi Chelsea untuk mendapatkan penyerang, Romelu Lukaku, dengan yuran perpindahan GBP75 juta (RM418 juta) walaupun sebelum ini laporan mengatakan Lukaku bakal meninggalkan Everton untuk menyertai Antonio Conte di Stamford Bridge.

Bagaimanapun, dalam satu sesi temubual bersama MUTV baru-baru ini, Lukaku mendedahkan Pogba telah memainkan peranan besar sehingga membuatkan dirinya mahu berpindah ke Old Trafford.

“Saya banyak berbual dengan Pogba,” kata Lukaku.

“Kami menghabiskan masa bersama dan dia bertanya apa yang saya mahukan.

“Saya menjelaskan mahu menyertai United dan sesuatu memberitahu saya untuk melakukannya,” tambahnya.

Lukaku yang pernah memenangi kejuaraan Liga Pro Belgium bersama Anderlecht dan Piala FA sewaktu di Chelsea turut memberitahu bahawa Pogba bermain dengan emosinya setiap kali mereka keluar makan malam.

“Saya tinggal berdekatan Manchester dan setiap kali keluar makan malam bersama Pogba, dia akan melalui Old Trafford dengan sengaja,” ujar Lukaku.

Dalam masa sama, dia turut bertekad mahu meningkatkan permainannya di England dan berharap dapat melakukannya bersama United.

“Saya membesar melihat United meraih banyak trofi dan sekarang amat berbangga menjadi sebahagian daripada pasukan ini,” katanya.

Advertisement

Must Watch Video