Skip to main content

Bola Sepak

Lukaku: Kritikan tidak pernah beri kesan

lukaku_6.jpg
MANCHESTER UNITED 2 CHELSEA 1

Romelu Lukaku menegaskan bahawa dia tidak terjejas oleh kritikan dalam musim pertamanya di Manchester United selepas memberi inspirasi kepada Red Devils untuk meraih kemenangan 2-1 ke atas Chelsea, tengah malam tadi. 

Penyerang Belgium itu menjaringkan gol pertamanya ke atas kelab yang berada dalam kalangan lapan kelompok terbaik menerusi penyudah yang tenang melibatkan gerakan daripada Alexis Sanchez dan Anthony Martial untuk membatalkan jaringan pembukaan Willian di Old Trafford.

Lukaku kemudian memberikan bantuan gol kepada Jesse Lingard untuk mereka memimpin permainan, seterusnya meraih mata penuh untuk skuad kendalian Jose Mourinho itu meraih kembali tangga kedua Liga Perdana.

Meskipun sudah mempunyai koleksi 22 gol, muncul keraguan terhadap keupayaan Lukaku untuk menyumbang dalam perlawanan besar, begitupun bekas penyerang Everton itu tidak pernah kehilangan keyakinan.

"Tidak," kata Lukaku ketika ditanya apakah kritikan itu berlegar di dalam fikirannya seperti yang dilaporkan oleh BBC Sport.

"Saya sentiasa bekerja keras, jadi untuk meraih tiga mata adalah bagus.

"Kami terpaksa bekerja keras untuk kemenangan ini, kami sudah bersedia dan kami melakukan yang terbaik hari ini.

"Saya hanya mahu bekerja keras untuk pasukan dan jika saya dapat memperbaiki prestasi, saya akan berasa sangat puas."

Rakan sepasukan, Scott McTominay, sekali lagi diberi kepercayaan oleh Mourinho untuk memperkasakan bahagian tengah tuan rumah dan pemain berusia 21 tahun itu memadamkan kesilapan awal terhadap gol Willian dengan permainan yang berkesan. 

Ditanya mengenai peluangnya dalam pasukan, McTominay berkata: "Saya tidak gentar dan saya hanya mahu peluang bermain sekerap yang boleh seperti sekarang.

"Mereka mempunyai pemain hebat di setiap posisi tetapi kami tampil menarik hari ini.

"Apabila kami ketinggalan, kami terpaksa meningkatkan tempo permainan tetapi pada babak kedua, kami berada dalam kawalan sepenuhnya.

"Saya benar-benar menikmati bola sepak buat masa ini, sangat bagus bermain dalam Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara secara kerap, tetapi pada akhirnya, tiga mata yang dipungut hari ini bagus untuk pasukan."

Advertisement

Must Watch Video