Skip to main content

Bola Sepak

Lloris waspada ancaman generasi baru Sweden

hugo-lloris-090617.jpg
Penjaga gawang Perancis, Hugo Lloris, gusar dengan generasi baru Sweden selepas ketiadaan Zlatan Ibrahimovic dan Kim Kallstrom.

Skuad kendalian Didier Deschamps itu akan berdepan Sweden bagi jadual kelayakan Piala Dunia di Stockholm, awal pagi esok, untuk melebarkan jurang tiga mata di puncak Kumpulan A ke atas lawan mereka itu.

Perancis bangkit daripada ketinggalan sebelum menumbangkan anak buah Janne Andersson, 2-1, di Paris, September lalu.

Lloris mengakui mereka terkejut dengan cabaran yang diberikan oleh Sweden biarpun tanpa kelibat Ibrahimovic dan Kallstrom.

Justeru, penjaga gol Perancis itu enggan pisang berbuah dua kali dengan menekankan perancang RB Leipzig, Emil Forsberg, merupakan nadi utama Sweden.

"Mereka memeranjatkan kami dalam pertembungan pertama," kata Lloris dalam sidang akhbar. 

"Benar, kami khuatir dengan mereka selepas persaraan Zlatan Ibrahimovic dan Kim Kallstrom, generasi baru ini membawa kesegaran. 

"Mereka sangat tersusun dan tahu bilakah untuk memberi tekanan dan memiliki pemain yang mampu membawa perbezaan seperti Forsberg. Kami perlu bersedia untuk berjuang."

Jurulatih Les Bleus, Deschamps, mengakui perlawanan itu amat penting dalam misi mereka mencari kelayakan automatik ke Russia 2018. 

"Ini adalah perlawanan mustahak bagi kami dan sangat penting buat Sweden kerana kedudukan mereka di belakang kami. 

"Ia bukan penentu dan masih ada empat perlawanan lagi. 

"Anda boleh katakan ia adalah saat getir, ini kerana mereka adalah ancaman kami dalam soal kedudukan. Tetapi saya ulangi, selepas ini masih ada empat perlawanan lagi. 

"Ia aksi yang rumit. Kami perlu mengerah segala komitmen dan kesungguhan."

Deschamps turut mengesahkan Kylian Mbappe dan Raphael Varane bersedia untuk diturunkan selepas dilanda kecederaan dan meraikan kejayaan Liga Juara-Juara. 

 

Advertisement

Must Watch Video