Skip to main content

Bola Sepak

Liverpool mohon maaf, batal lamar Van Dijk

virgil-van-dijk-080617.jpg
Liverpool mengumumkan tidak akan meneruskan hajat memancing Virgil van Dijk dan meminta maaf kepada Southampton selepas dituduh cuba mendapatkan pemain pertahanan itu. 

Kelab yang berpangkalan di Anfield itu kesal dengan salah faham mengenai pemburuan pemain Belanda berkenaan. 

Ia berikutan Southampton mahu membuat laporan kepada badan pengelola liga, Liga Perdana Inggeris (EPL), mengenai pendekatan tidak sah The Reds terhadap pemain itu. 

Satu kenyataan rasmi kelab itu semalam menyatakan: "Liverpool kesal dengan spekulasi media baru-baru ini berkenaan dengan Southampton dan berhubung perpindahan pemainnya. 

"Kami memohon maaf kepada pemilik, ahli lembaga pengarah dan penyokong Southampton kerana salah faham atas Virgil van Dijk.

"Kami menghormati kedudukan Southampton dan mengesahkan akan menamatkan minat terhadap pemain itu."

Laporan di England mendakwa van Dijk -- yang menandatangani kontrak baru selama enam tahun bersama Saints, Mei lalu -- begitu berminat berada di bawah kendalian Jurgen Klopp, di sebalik minat daripada Chelsea dan Manchester City.

Liverpool memiliki ramai bekas pemain Southampton dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk Nathaniel Clyne, Adam Lallana, Dejan Lovren dan Rickie Lambert.

Dengan itu, Liverpool dikatakan telah beralih minat kepada pertahanan Lazio, Stefan de Vrij, dan usaha pertama mereka dengan nilai GBP15juta telah ditolak oleh kelab Serie A itu. 
 

Advertisement

Must Watch Video