Skip to main content

Bola Sepak

Lionel Messi, Sergio Ramos tangguh kemunculan

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

messi.jpg
Lionel Messi akan diberi masa oleh pengurus Paris Saint-Germain (PSG), Mauricio Pochettino, bagi mendapatkan semula kecergasannya sebelum membuat penampilan sulung, sementara Sergio Ramos perlu berehat dan dijangka akan membuat kemunculan selepas jadual antarabangsa. 

Pemenang enam Ballon d'Or itu mengakhiri jodohnya selama 21 tahun dengan Barca pada Selasa lalu dengan menandatangani perjanjian awal selama dua musim di Parc des Princes dengan pilihan melanjutkan kontraknya.

Messi menikmati rehat sejak membantu Argentina menang 1-0 ke atas Brazil dalam final Copa America, bulan lalu, dan hanya sempat turun berlatih dua kali bersama kelab barunya itu. 

PSG akan menjadi tuan rumah kepada Strasbourg dalam perlawanan kedua Ligue 1, awal pagi esok, tetapi Pochettino belum sedia mengambil risiko mempertaruhkan Messi terlalu awal.

"Hari ini adalah sesi latihan keduanya sejak final Copa America," kata Pochettino dalam sidang media pra-perlawanan.

"Keutamaan baginya adalah berasa lebih baik dan semakin baik. Hanya dengan itu kita akan dapat melihat adakah dia sudah bersedia untuk diturunkan."

Messi meninggalkan Barcelona selepas menyumbat 672 gol dan 265 bantuan jaringan dalam 778 penampilan sepanjang mewakili gergasi Catalan itu (17 musim dalam skuad utama) yang mengalami masalah kewangan meruncing.





Ketibaan pemain berusia 34 tahun tersebut di ibu negara Perancis berkenaan menguasai tajuk utama dan Pochettino turut teruja di samping penyokong PSG untuk perjanjian berprofil tinggi itu.

"Kami berkongsi perasaan yang sama dengan peminat, ia satu tenaga positif yang hebat," katanya. 

"Setiap jurulatih di dunia pasti mendambakan pemain terbaik.

"Seronok untuk mempunyai senarai pemain handalan di sini bagi meningkatkan persaingan dan membantu kami mencapai sasaran." 

Ramos pula dibelenggu masalah betis kiri yang acap kali mengganggu kempennya bersama Real Madrid musim lalu dan Pochettino mengesahkan pertahanan tengah itu akan direhatkan hingga jadual antarabangsa, pertengahan bulan depan. 

 

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video