Skip to main content

Bola Sepak

Liga Super: Terengganu akan kemuka aduan kepada FAM

ref-terengganu-vs-jdt.jpg
Terengganu FC (TFC) akan menghantar laporan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung mutu pengadilan Mohd Fusser Mad Sallih.

Itu reaksi Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh, mengulas mengenai insiden kad merah yang diterima skuad Penyu kendalian Tomislav Steinbruckner itu semasa melayan kunjungan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT), pada Jumaat lalu.

Steinbruckner sebelum itu menyifatkan kad merah kedua yang diterima pasukan tuan rumah itu bagaikan membunuh rentak pemainnya dalam memburu gol penyamaan ketika berdepan anak buah Estaban Solari berkenaan.

Malah, menurut Steinbruckner, beraksi dengan sembilan pemain berbanding 11 pemain lawan dalam 20 minit terakhir ternyata amat menyukarkan buat skuad Peteh itu.

“Saya dan pasukan teknikal akan melihat terlebih dulu laporan daripada ketua jurulatih Tomislav Steinbruckner.

“Ini termasuk video performance analysis, komen-komen termasuk pengacara dan sebagainya hari ini sebelum menghantar laporan lengkap kepada FAM untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam masa sama, Ab Rasid percaya orang ramai khasnya komuniti bola sepak, kini lebih terdedah kepada perkara berkaitan peraturan bola sepak di era teknologi bermaklumat.

“Orang awam termasuk peminat, penyokong, terutama penggiat bola sepak, sudah faham dan mengetahui aspek teknikal termasuk undang-undang permainan bola sepak.

“Jadi, semua orang boleh jadi saksi dan buat ukuran sendiri mengenai mutu pengadilan perlawanan TFC menentang JDT pada Jumaat lalu,” katanya lagi.

Sebagai rekod, anak buah Steinbruckner, yang ketinggalan 1-2, terpaksa beraksi dengan sembilan pemain dalam separuh masa kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin setelah Ivan Mamut menerima kad merah pada minit ke-52 dan Argzim Redzovic sebelum itu dilayangkan kad kuning kedua.

Kredit: Sinar Harian
 

Advertisement

Must Watch Video