Jurulatih Kitchee, Inigo Calderon, tidak menganggap Kuching City sebagai budak mentah dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) apabila menjangkakan cabaran berbeza menanti mereka biarpun lawan membuat penampilan pertama di pentas Asia.
Malah, bekas pertahanan kanan Brighton & Hove Albion itu menegaskan kejayaan mengikat kelab handalan Korea Selatan, Gangwon FC,tanpa jaringan pada aksi pertama Kumpulan H terbabit juga bukan jaminan buat Kitchee untuk meraih kemenangan berdepan The Cats di Stadium Taha Ariffin malam esok.
"Kami cuba jelmakan rentak sendiri.
"Kami mahu menikmati perlawanan seterusnya tetapi sebagai tuan rumah, Kuching amat ampuh.
"Kami cuba memenangi perlawanan tapi apa pun kami akan berikan yang terbaik," katanya dalam sidang media.
Pengendali dari Sepanyol itu juga bersikap waspada apabila mengakui keupayaan Kuching City yang sukar diramal dengan menegaskan beberapa pemain lawan mampu menjadi ancaman besar kepada pasukannya.
"Mereka mempunyai ramai pilihan pemain dan mengetengahkan barisan berbeza dalam setiap perlawanan maka sukar untuk saya meramalkan kesebelasan mereka.
"Taktikal kami tidak akan berasaskan kesebelasan pihak lawan, saya akan mengubah banyak percaturan.
"Namun, kami tetap perlu berwaspada dengan Kuching," katanya.