The Els Club Teluk Datai, Langkawi menjadi saksi lakaran sejarah Mohd Rasidi Abdul Rasid apabila muncul juara keseluruhan kategori jemputan Kejohanan Golf Bisnes Asia (ABGC) 2026.
Lebih istimewa lagi, Rasidi yang berjaya mencatatkan 76 pukulan, 4 di atas par, menikmati kejuaraan tersebut di kelab golf yang direka semula sepenuhnya oleh legenda, Ernie Els.
"Salah seorang idola saya adalah Ernie Els, lihat cara pukulan dia lembut tapi pergi jauh, dia sangat konsisten.
"Dia masih beraksi dala, Siri PGA, saya lihat cara dia uruskan kejohanan ini sangat bagus, tiada masalah sepanjang kejohanan berlangsung, rasa bangga menang di tempat idola saya." katanya.
Untuk rekod, padang golf ini dibuka pada 1992 dikenali dengan nama Golf Club Datai Bay — namun proses naik taraf oleh Els dan pasukannya melalui proses ubah suai dari 2012 hingga 2013 sebelum dibuka semula pada 2014.
Suratan takdir atau kebetulan, Rasidi mengungguli saingan di Kelana Golf yang tanpa bunker — sebaliknya bermain dengan elemen alam sekitar sebagai halangan seperti aliran sungai, pokok tropika yang tinggi serta green yang mencabar.
Antara kelainan yang diketengahkan di pusingan akhir kejohanan abgc 2026 — persaingan sengit melibatkan gabungan 3 kategori yang dipertandingkan iaitu national finals, pemain jemputan dan kumpulan supercars.
Kategori national finals melibatkan kelompok pemain terbaik hasil 7 pusingan kelayakan bagi menempah slot di pusingan akhir di langkawi.
Dengan adanya kategori tambahan seperti pemain jemputan dan kumpulan supercars ia mengetengahkan kepentingan jaringan perniagaan di rantau asia, sekaligus mengukuhkan lagi penjenamaan ABGC serta jaringan korporat dikalangan 92 pemain yang mengambil bahagian.
Melabuhkan tirai dengan jayanya, ABGC menjadi kejohanan pilihan penglibatan korporat serta perniagaan di rantau Asia, dan penganjur merancang kejohanan lebih besar pada musim kedua di 2027.
"Kebanyakan kejohanan yang saya sertai dengan format perseorangan, kali ini saya dapat bersama-sama dengan gandingan saya.
"Cabaran kali ini berbeza, paling penting dalam jumpa peserta lain. Kami sangat sukai kategori bergandingan ini, paling penting, " tambah juara berpasukan ABGC 2026, Mohamad Azim Syahmi.
"Alhamdulilah, terima kasih kepada semua penyumbang. Mereka beri kami sokongan kepada kami, kami berbangga dengan semangat kesukanan, keakraban, masing-masing seperti menjadi satu keluarga." kongsi Pengerusi Kejohanan Golf Bisnes Asia, Mohd Salim Mohamaed Sain.