Skip to main content

Bola Sepak

Liga Super Eropah bunuh impian kelab kerdil, kata legenda Itali

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

zenga.jpg
Legenda Inter, Walter Zenga, yakin penganjuran Liga Super Eropah (ESL) akan diteruskan biarpun mendapat tentangan dan kritikan hebat dan bekas penjaga gol Itali itu melabelnya sebagai kekacauan besar. 

Enam kelab utama Liga Perdana Inggeris (EPL) -- Manchester United, Liverpool, Manchester City, Chelsea, Arsenal dan Tottenham -- telah bersepakat dengan Real Madrid, Barcelona, ​​Atletico Madrid, Inter, Juventus dan Milan untuk meneruskan rancangan pertandingan baru pada pertengahan minggu sebagai tambahan kepada saingan Liga Juara-Juara (UCL). 

Barisan anggota asas itu akan layak secara automatik pada setiap musim tanpa mengira kedudukan terakhir dalam liga domestik masing-masing.

Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) dan Persatuan Kelab Eropah (ECA) mengecam kejohanan baru itu, sementara Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) juga tidak setuju dengan tindakan berkenaan termasuk peminat dan pakar. 

Dianggap sebagai salah seorang penjaga gol terhebat sepanjang zaman, Zenga -- yang mengumpul 473 penampilan bersama Inter dengan memenangi dua gelaran Piala UEFA, trofi Serie A dan Supercoppa Italiana dalam kariernya di San Siro -- mengakui bahawa dia bukanlah peminat ESL.

"Ini sangat hura-hara," kata bekas pemain berusia 60 tahun -- yang muncul dalam barisan muda Inter pada 1978 sebelum meninggalkan kelab itu secara kekal pada 1994 -- kepada Stats Perform News.

"Saya ada terbaca satu wawancara mengenai (bekas pengurus Manchester United, Alex) Ferguson bahawa dia mula meminati bola sepak ketika masih kecil dengan melihat kanak-kanak bermain di jalanan lalu mengejar impiannya.

"Liga Super boleh memusnahkan kelab kecil yang pernah menyaksikannya menjulang kempen Liga Europa bersama sebuah kelab kerdil seperti Aberdeen. 

"Saya rasa ia tidak akan bagus untuk bola sepak, ia menjurus kepada sebuah kelab peribadi."


 


"Saya berpendapat setiap kelab akan berdepan masalah berikutan penularan COVID-19," kata Zenga, yang kali terakhir menguruskan kelab Serie A, Cagliari,Ogos tahun lalu. 

"Kami hanya boleh menyatakan pandangan, bukankah ia hanya pendapat dan bukan kebenarannya? Kami tidak tahu apa masalah besar yang dihadapi beberapa kelab, kami tidak pasti mengapa mereka ingin mewujudkan Liga Super, mungkin untuk mendapatkan wang.

"Saya rasa satu-satunya jalan untuk keluar daripada situasi ini ialah memikirkan soal iklan dan bagaimana menjana lebih banyak wang. 

"Kemudian secara jujurnya ​​jika anda bertanya adakah saya suka Liga Super, saya katakan tidak. 

"Sekiranya anda bertanya kepada saya mengapa sesebuah kelab itu mengambil keputusan untuk mendekati perkara-perkara seperti ini, saya tidak tahu kerana saya tidak terlibat dalam pengurusan kelab, saya tidak tahu masalahnya dan ia sangat sukar difahami."

 

Advertisement

Must Watch Video