LIGA PERDANA MSIA
Liga Perdana: UiTM benam Pulau Pinang
UiTM 3 PULAU PINANG 1
Hajat Pulau Pinang untuk memulakan kempen dengan langkah positif tidak kesampaian apabila dibelasah UiTM FC 3-1 dalam aksi pembukaan Liga Perdana 2018, sebentar tadi.
Skuad Harimau Kumbang kendalian Zainal Abidin Hassan itu gagal memperterjemahkan reputasi di atas kertas biarpun dibarisi pemain berpengalaman seperti Azinee Taib, Jasazrin Jamaluddin, Raimi Mohd Nor, Ugochukwu Ukah dan Ken Ilso Larsen.
Iklan
Corak permainan lebih tersusun yang dipamerkan UiTM di laman sendiri berjaya memerangkap Pulau Pinang pada awal permainan.
Hasilnya, rembatan deras pemain tengah, Sadam Hashim, yang menerjah jaring pada minit ke-16 menyentak pasukan lawan.
Dalam usaha untuk bangkit, Pulau Pinang meraih peluang terbaik pada minit ke-33 yang malangnya dihampakan oleh rembatan Sanna Nyassi yang melewati palang gol.
UiTM, yang diberi jolokan The Lion Troops, sebaliknya hampir menggandakan gol melalui penggempur Argentina, Lucas Pugh, yang bagaimanapun gagal mengatasi benteng terakhir pelawat.
Akibatnya, Pulau Pinang terpaksa menanti sehingga minit ke-75 untuk mengimbangi keputusan permainan menerusi sentuhan Larsen.
Begitupun, 10 minit kemudian, Pugh kembali memberikan tuan rumah kelebihan apabila bijak mencari kedudukan terbaik sebelum menewaskan Amirul Asyraf Suhaidi.
Penjaga gol tersebut terus dihukum lagi dan kali ini, Dao Bakary pula menggegar jaring Pulau Pinang buat kali ketiga apabila mudah menolak masuk umpanan Pugh pada masa kecederaan.
Must-Watch Video