Skip to main content

Bola Sepak

Liga FAM: Kuching FA mahu timba pengalaman

31117kuchingfa7364c00a3d81604aa734ff0000212b38.jpg
Berbekalkan pengalaman dan reputasi sebagai pemenang edisi pertama Liga Bola Sepak Rakyat (LBR), Kuching FA yakin mampu memberikan saingan sengit dalam Liga FAM, bermula 12 Februari depan.

Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata penyertaan itu membuka lembaran baharu kepada sukan bola sepak di Sarawak, sekali gus memberi petanda positif bahawa negeri itu tidak ketandusan pemain pelapis.

"Atas kepercayaan itu, kami menuntut pasukan ini bermain dengan penuh komited dan semangat yang jitu, dan insya-Allah akan mengulangi kejayaan pada tahun lalu.

"Kami akan terus menyokong pasukan ini yang bernaung di bawah Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS)," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kuching FA, Fazruddin Abdul Rahman, berkata penyertaan pasukan ini dilihat sebagai landasan bakat-bakat baharu di negeri ini mengembangkan bakat mereka.

"Ia pasukan baharu yang dibentuk berbanding pasukan yang menjuarai LBR pada musim lalu.

"Sebabnya, ada pemain yang tidak dapat memberikan komitmen kerana pekerjaan lain.

Katanya, kebanyakan pemain dihimpunkan dari pelbagai kelab di Kuching.

"Sepanjang dua minggu lalu selepas dikumpulkan, mereka telah menunjukkan, keserasian dan komitmen yang baik.

Kata Fazruddin, pihaknya telah bekerjasama baik dengan FAS dalam membentuk pasukan ini dan berharap ia dapat menjadi pasukan yang membekalkan bakat baharu kepada pasukan utama negeri.

"Kami juga berterima kasih kepada Dewan Bandaraya Kuching Utara kerana berkesanggupan membantu ketika Kuching FA menjadi tuan rumah kelak," katanya lagi.

Tambahnya, sebagai pasukan muda yang pertama kali tampil dalam liga tersebut, beliau tidak mengharapkan sebarang kejayaan luar biasa.

"Cukuplah kami menyasarkan untuk kekal dalam Liga FAM pada musim depan. Ini adalah langkah pertama dan kami masih perlu menimba pengalaman, apatah lagi dengan keseluruhan pemain tempatan. Insya-Allah kami akan menyasarkan kejayaan pada musim hadapan," katanya.

Bagi musim Liga FAM 2017, Kuching FA telah mendaftarkan pemain seperti Ahmad Shakri Tuah, Mohd Saiful Kamel Jamel, Mohamad Fareez Tukijo, Mansor Keram, Wan Aminuddin Wan Mahmud, Mohd Izzuddin Jahidin, Awang Mohd Tarmizi Awang Mahdini, Sufizal Ismail, Mohamad Asrullah Drahman, Mohammad Khairul Eshak, Mohamad Zakaria Ishak, Remenor Pit, Zambery Zainal, Zulmizan Bujang, Ismail Bujang dan Mohd Zufika Mustapha.

Turut tersenarai Iqmal Mustaqkim Kamrodin, Mohammad Muizzuddin Muqri Mazelan, Rafiezan Razali, Razziman Razali, Nazaruddin Bohri, Mohammad Shafitri Salim, Nasyirat Mustaqim Sepawi, Muhammad Farhan Yusuf dan Mohd Arif Azizan Ederis.

Pasukan ini akan dikendalikan oleh bekas pemain Sarawak, Sharizan Sahari, dan dibantu oleh Ideris Untong.
 

Advertisement

Must Watch Video