Robert Lewandowski mengakui nasib memainkan peranan besar dalam kemenangan Bayern Munich ke atas Freiburg, semalam.
Bayern cemas sebelum berjaya melakar kemenangan 2-1.
Penyerang Poland itu meledak gol kemenangan pada saat-saat akhir perlawanan -- selepas berjaya menyamakan kedudukan hasil sepakan penjuru Douglas Costa sebelum meledak gol di akhir perlawanan hasil hantaran Franck Ribery.
"Pada awalnya -- selepas menerima hantaran Ribery -- saya mahu menghantar bola kepada rakan sepasukan lain, namun bukan mudah kerana saya melihat tiada sesiapa yang berada dekat dengan saya," Lewandowski memberitahu wartawan.
"Kemudian saya terpaksa menahan bola dengan dada dan cuba menendang bola seboleh mungkin. Saya bernasib baik apabila bola itu masuk ke gawang lawan walaupun gagal menendang dengan baik.
"Kami berjuang hingga ke saat akhir dan akhirnya kami berjaya. Inilah Bundesliga. Pihak lawan bertahan dengan baik tetapi kami perlu bersabar."
Sementara itu, pengendali Bayern, Carlo Ancelotti berkata dia berpuas hati dengan kemenangan tersebut tatkala anak buahnya bergelut dalam cuba mematahkan pertahanan kental Freiburg.
"Satu perlawanan yang sukar kerana pihak lawan cukup agresif," ujar Ancelotti.
"Dalam tempoh 45 minit pertama, kami tidak bermain dengan baik tetapi saya gembira dengan sifat tidak putus asa pemain saya."