UCL
Leicester akui Atletico miliki karektor juara
LEICESTER CITY 1 ATLETICO MADRID 1
(Atletico mara dengan agregat 2-1)
Craig Shakespeare menyokong Atletico Madrid untuk memenangi Liga Juara-Juara selepas pasukan kendalian Diego Simeone itu menyingkirkan pasukannya, Leicester City, 2-1 menerusi agregat di peringkat suku akhir, awal pagi tadi.
Saul Niguez memberikan Atletico gol pendahuluan -- bagi melanjutkan kelebihan 1-0 hasil perlawanan pertama -- namun Jamie Vardy mencetuskan tekanan ke atas kelab gergasi LaLiga itu menerusi gol penyamaan.
Iklan
Begitupun, pelawat terselamat untuk mara ke peringkat separuh akhir buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun.
Shakespeare berasakan Atletico telah membuktikan kualiti yang dimiliki mereka dalam dua aksi sengit ketika berdepan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
"Sejarah bercakap untuk mereka sendiri," kata Shakespeare dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
"Mereka adalah finalis dalam dua daripada tiga tahun lalu dan kami sedar apakah cabaran yang diharapkan. Selepas perlawanan pertama, kami berasakan kami mempunyai peluang tetapi akhirnya kami sedar, kami gagal melepasi halangan terakhir.
"Saya fikir mereka bernasib malang dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan kami dapat melihat kualiti yang mereka ada dalam kedua-dua perlawanan. Mereka akan menjadi lawan yang sukar dalam separuh akhir tetapi saya tidak nampak sebarang sebab mengapa mereka tidak boleh menang.
"Kami kecewa tersingkir, bagaimanapun saya amat bangga dengan pasukan ini dan saya fikir kami telah memberikan cabaran sengit. Pemain-pemain boleh berbangga dengan prestasi mereka tetapi akhirnya mereka sangat kecewa untuk tersingkir."
Perubahan taktikal dengan membuat dua penggantian pemain selepas waktu rehat hampir mencetuskan kebangkitan buat Leicester dan Shakespeare berharap prestasi cemerlang di Eropah akan menjadi pendorong untuk anak buahnya layak ke saingan Liga Juara-Juara lagi pada masa akan datang.
"Kami telah merancang lebih awal (bermain dengan tiga pemain pertahanan), namun saya tidak menyangka untuk melakukannya lebih awal," kata pengurus itu.
"Saya sebenarnya fikir kami telah memperagakan aksi yang betul pada separuh pertama tetapi kami perlu lebih mengancam di kubu mereka, terutama di hadapan gol.
"Saya telah berpesan untuk bermain hantaran jauh kepada Jamie dan Riyad (Mahrez) serta juga Leo (Ulloa). Kami telah merancangnya dalam latihan, namun saya tidak menjangka untuk melakukannya lebih awal.
"Sikap pemain menjadikannya nampak hebat dan pada separuh masa kedua, kami berjaya menjaringkan gol, namun gagal menambahnya lagi.
"Saya berharap pemain-pemain mendapat manfaat daripada permainan Eropah. Mereka sangat kecewa, namun mereka boleh berbangga dengan apa yang dicapai.
"Mereka mahu mengecapi kejayaan lebih besar daripada ini kerana semua pemain mahu bermain di peringkat tertinggi tetapi kami perlu kembali kepada rentak kemenangan dalam EPL sekarang."
Must-Watch Video