Gonzalo Higuain menjulang aksi mantap Juventus dalam kemenangan 2-0 ke atas Lazio dan berkata pasukan pelawat itu langsung tidak memberikan saingan, semalam.
Gol Juve hadir menerusi Paulo Dybala dan Higuain dalam tempoh 16 minit pertama.
Ia merupakan kebangkitan terbaik dipamerkan anak buah Massimiliano Allegri sesudah tewas kepada Fiorentina sebelum ini.
Bekas penyerang Real Madrid itu teruja dengan kemenangan tersebut, apatah lagi dia berjaya meledak gol ke-12 buat Juventus dalam Serie A.
"Lazio gagal memberi tentangan kepada kami, kutipan tiga mata ini cukup bermakna," Higuain memberitahu Sky Italia.
"Hanya pihak media yang berasa sangsi dengan kemampuan kami. Kami sedar dalam perlawanan sebelum ini, kami melakukan kesilapan.
"Kami mengenal pasti kesilapan yang berlaku ketika berdepan Fiorentina dan bingkas memperbaikinya."
Allegri menerapkan formasi 4-2-3-1 yang buat pertama kalinya melihat Higuain, Dybala dan Mario Mandzukic beraksi serentak dalam Serie A, musim ini.
"Kami hanya perlu berkerja lebih keras tetapi taktikal itu sememangnya membuahkan hasil," tambah Higuain.
"Ia perkara normal apabila menerapkan corak menyerang, jentera serangan perlu memberi bantuan ketika bertahan."