Skip to main content

Bola Sepak

Laxalt mampu sekat gerakan Mbappe

kylian-mbappe.jpg
Diego Laxalt yakin Uruguay mampu mengekang pergearakan penyerang Perancis, Kylian Mbappe, dalam aksi suku akhir Piala Dunia, Jumaat ini.

Mbappe menjaringkan dua gol ketika menewaskan Argentina 4-3 dalam aksi kalah mati, membantu skuad kendalian Didier Deschamps itu mara ke suku akhir buat kali ketiga dalam empat edisi Piala Dunia.

Persembahan pemain berusia 19 tahun itu, yang diapit dengan barisan tengah Perancis, meletakkan mereka di landasan untuk mengatasi skuad bimbingan Oscar Tabarez itu di Nizhny Novgorod walaupun Uruguay hanya tewas satu daripada lapan pertembungan sebelum ini.

Finalis Euro 2016 itu, yang tidak tewas dalam sembilan perlawanan Piala Dunia berdepan lawan dari Amerika Selatan, memastikan gawang tidak dibolosi dalam tujuh perlawanan, mempamerkan semangat melakar kemenangan ketika menewaskan Argentina.

Dengan penyerang, Edinson Cavani, berkemungkinan terlepas aksi suku akhir kerana mengalami kecederaan betis ketika merakamkan kemenangan 2-1 ke atas Portugal, peluang Uruguay dilihat semakin tipis.

Bagaimanapun, Uruguay telah memenangi tujuh perlawanan berturut-turut dan hanya bolos sekali, lantas Laxalt yakin mereka mampu menggunakan pendekatan bertahan ketika berdepan Perancis.

"Kami akan cuba menampilkan permainan terbaik ketika bertahan dan berharap jentera serangan mencipta jaringan," katanya.

"Uruguay akan mengulangi persembahan yang sama ketika berdepan Portugal. Kami akan berusaha menutup ruang untuk Mbappe melakukan pecutan."

Blaise Matuidi berharap Cavani tidak akan turun beraksi kerana dia mampu memberikan kesusahan kepada Perancis.

"Saya telah lama mengenali Cavani. Dia seorang pemain yang berbisa dan seorang yang tidak mudah berputus asa. Saya pasti dia akan mengerah segala kudratnya untuk membantu Uruguay mencipta kemenangan."

Pemain tumpuan

Uruguay –- Diego Laxalt


Laxalt merupakan wira yang tidak didendang di pentas Piala Dunia, terutama ketika berdepan Portugal. Dia akan menjadi pemain utama untuk menghalang Mbappe.

Perancis -- Kylian Mbappe

Siapa lagi kalau bukan Mbappe. Mbappe cemerlang ketika berdepan Argentina dan merupakan senjata terkuat mereka. Ia akan menjadi ujian terbesar buat jentera pertahanan Uruguay yang diketuai oleh Diego Godin.
 

Advertisement

Must Watch Video