Skip to main content

Bola Sepak

Lautaro Martinez berkeras kekal di Inter

martinez.jpg
Ejen Lautaro Martinez mengatakan penyerang itu langsung tidak memikirkan untuk meninggalkan Inter malah bersiap untuk mengadakan rundingan kontrak baru. 

Pemain berusia 23 tahun itu dikaitkan ke Tottenham berikutan spekulasi mengenai masa depan Harry Kane semakin hangat.

Bagaimanapun, wakil pemain antarabangsa Argentina itu, Alejandro Camano, semalam menolak khabar angin minggu lalu dan menegaskan Martinez ingin mencapai kesepakatan baru.

"Kami akan melakukan segala yang mungkin untuk kekal di Nerazzurri," kata Camano kepada FC Inter News. 

"Martinez sangat seronok di Milan, dia mempunyai hubungan yang sangat baik dengan rakan sepasukannya dan pengurus baru (Simone Inzaghi).

"Dia mendengarbanyak khabar angin berkisarkannya tetapi dalam masa sama dia tidak menganggapnya serius: dia percaya dan kami percaya bahawa masih ada kehidupan untuknya di Inter. Dia percaya dengan projek Nerazzurri.

"Dia sekali lagi mahu memenangi Scudetto dengan Inter, beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL) bersama Nerazzurri dan seperti yang saya katakan ketika ini, dia sama sekali tidak memikirkan untuk meninggalkan Itali."


 

Martinez menyertai juara Serie A itu daripada Racing Club pada Julai 2018 dan telah telah membuat 132 penampilan untuk kelab tersebut.

Penggempur itu menyumbangkan 17 gol dalam 38 penampilan musim lalu untuk membantu  Inter merangkul gelaran Serie A pertama mereka dalam tempoh 11 tahun.

Tanpa Lukaku yang kembali ke Chelsea minggu lalu selain pelantikan Inzaghi, keraguan terhadap masa depan Martinez semakin meningkat. 

"Tidak, ia soal peribadi di antara mereka berdua," jawab Camano ketika ditanya tentang reaksi Martinez terhadap pemergian Lukaku. 

"Dia tidak memberitahu saya apa-apa."

Bahkan, Camano mendedahkan kenaikan gaji bukanlah keutamaan bagi Martinez.

"Lautaro tidak membangkitkan tentang wang, sebaliknya setakat mengenai bola sepak dan beraksi," sambungnya. 

"Wang bergantung kepada ejennya. Martinez hanya mampu mengatakan betapa seronoknya dia di Milan dan pasukannya."

Inter juga melabur semula dengan memancing bintang Belanda dalam Euro 2020, Denzel Dumfries, dan penyerang berpengalaman, Edin Dzeko, daripada Roma.

Advertisement

Must Watch Video