Skip to main content

Bola Sepak

Kuching FA rayu hukuman tiga pemain diringankan

kuching-fa-270617.jpg
Persatuan Bola Sepak Bahagian Kuching (Kuching FA) akan menulis surat kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi merayu agar hukuman penggantungan di antara tiga dan enam bulan ke atas tiga pemainnya diringankan.

Pengurusnya, Fazruddin Abdul Rahman, berkata dalam proses rayuan itu kelak, pihaknya akan turut mengemukakan salinan rakaman video sebagai dokumen sokongan.

"Kami mahu FAM konsisten terhadap semua tindakan mereka, termasuk hukuman yang setimpal terhadap pasukan lain juga," katanya.

Tiga pemain terbabit turut didenda sebanyak RM5,000 hingga RM10,000 seorang kerana berkelakuan ganas mereka ketika aksi Kuching FA dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) FC pada 20 Mei lalu.

Dalam aksi Liga FAM 2017 itu, Mohammad Shafitri Salim didapati dengan sengaja memijak pemain SAMB, Hafizuddin Mohamad Said, hingga menyebabkan kecederaan serius.

Shahfitri kemudian diarah menjalani penggantungan daripada bermain dalam perlawanan rasmi dan tidak rasmi selama enam bulan berkuatkuasa 15 Jun selain didenda sebanyak RM10,000.

Seorang lagi pemain, Remenor Pit, pula didapati bersalah kerana dengan sengaja mencekik pemain lawan dan dijatuhkan hukuman penggantungan selama tiga bulan, berkuat kuasa 15 Jun di samping denda sebanyak RM5,000.

Rafiezan Razali menjalani hukuman yang sama setelah didapati bersalah dengan sengaja menyiku pemain lawan ketika aksi menentang Sime Darby FC.

Katanya, pihaknya telah memberi amaran keras kepada pemain-pemain yang terlibat.

"Kami telah pun memanggil mereka untuk membela diri dan telah mengambil keputusan untuk menjatuhkan hukuman.

"Apapun bentuk hukuman yang akan dilaksanakan belum dimuktamadkan," katanya. 

Kata Fazruddin, ekoran penggantungan tersebut, pihaknya kini perlu merumus strategi baharu yang agak drastik kerana yang terlibat dalam penggantungan tersebut ialah pemain tonggak pasukan.

"Sudah tentu kami akan mengadakan perubahan strategi dan berharap pemain-pemain baharu ini kelak akan dapat membantu pasukan dalam mengharungi baki perlawanan," katanya lagi.

 

Advertisement

Must Watch Video