Skip to main content

Bola Sepak

Kuching FA bincang kes tiga pemain digantung kerana aksi ganas Liga FAM

kuchingfa.jpg
Tiga pemain  Persatuan Bola Sepak Kuching (Kuching FA) digantung perlawanan antara tiga hingga enam bulan serta denda RM5,000 hingga RM10,000 seorang, kerana berkelakuan ganas ketika aksi di antara Kuching FA dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) FC pada 20 Mei lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata dalam aksi Liga FAM 2017 itu, Mohammad Shafitri Salim didapati berkelakuan ganas apabila dengan sengaja memijak Hafizuddin Mohamad Said hingga menyebabkan kecederaan serius.

Shahfitri diarah menjalani penggantungan daripada bermain dalam perlawanan rasmi dan tidak rasmi selama enam bulan, berkuat kuasa 15 Jun hingga 14 Disember 2017 selain denda sebanyak RM10,000.

Seorang lagi pemain, Remenor Pit, pula didapati bersalah berkelakuan ganas dengan sengaja mencekik pemain lawan.

Sehubungan itu, dia telah dijatuhkan hukuman penggantungan selama tiga bulan, berkuat kuasa 15 Jun sehingga 14 September 2017 dan didenda sebanyak RM5,000.

Turut menerima hukuman yang sama, seorang lagi pemain Kuching FA, Rafiezan Razali, yang didapati bersalah dengan sengaja menyiku pemain lawan.

Pengurus pasukan Kuching FA, Fazruddin Abdul Rahman, ketika dihubungi berkata pihaknya akan bermesyuarat pada petang ini bagi merayu hukuman-hukuman tersebut diringankan sambil merancang tindakan sepatutnya selepas ini.

Beliau tidak menafikan kehilangan tiga tonggak ini akan menjejaskan persiapan bekas juara Liga Bola Sepak Rakyat edisi pertama itu.

Advertisement

Must Watch Video