Pengendali Kuala Lumpur, Wanderley Junior, berasa pasukannya mempunyai peluang seimbang menduduki dua tempat teratas Lliga Perdana musim ini untuk memastikan misi ke Liga Super musim depan mampu disempurnakan.
Bagi Junior, barisan pemain Kuala Lumpur musim ini menyaksikan gandingan beberapa tonggak berpengalaman dan pemain muda berpotensi.
Junior berasa dia mempunyai ramuan mencukupi dengan syarat kesemua pemain terus memberikan komitmen tinggi sehingga akhir musim.
"Kami meletakkan jangkaan yang positif kerana dalam pertandingan ini, kami turun dengan misi mahu menang.
"Kami tahu ia bukan mudah tetapi kami melakukan persiapan yang baik bagi memastikan aksi kami tidak sia-sia.
"Setiap perlawanan adalah proses dalam memperbaiki kelemahan, seterusnya membentuk pasukan yang ampuh dalam misi ke Liga Super," ujarnya.
Nada keyakinan turut disuarakan pemain tengah Kuala Lumpur, Azidan Saruddin, yang kembali ke skuad warga kota selepas cemerlang bersama Selangor, Pahang serta Air Asia dalam saingan Piala FAM musim lalu.
Azidan mahu menggunakan pengalamannya untuk membantu Kuala Lumpur melunaskan misi ke Liga Super.
"Tahun ini, kami banyak dibarisi pemain muda. Pemain lama hanya ada tiga empat orang untuk membimbing pemain muda ini.
"Insya-Allah kami mampu menduduki kelompok dua terbaik musim ini," kata Azidan.