LIGA PERDANA MSIA
Kuala Lumpur, Negeri Sembilan punya sebab untuk saling berpuas hati
Jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Magrao, berpuas hati dengan kejayaan anak buahnya merampas kedudukan teratas Liga Perdana selepas menundukkan pendahulu terdahulu, Negeri Sembilan, 3-2, di Stadium Selayang, semalam.
Kuala Lumpur kini menerajui Liga Perdana apabila terikat 32 mata dengan skuad Hoben Jang Hoben itu, namun berkelebihan dari segi perbezaan jaringan.
"Buat masa ini, kami adalah pasukan terbaik dan oleh sebab itu, kami berada di puncak.
Iklan
"Saya harus mengucapkan tahniah kepada pemain saya di atas kejayaan ini kerana berjaya mendapatkan tiga gol pendahuluan ke atas sebuah pasukan mantap," katanya.
Pelawat yang dibimbing Asri Ninggal cuba mencari ruang untuk memimpin perlawanan, namun tiada sebarang percubaan tepat dapat dihasilkan pada awal permainan.
Sebaliknya, pada minit ke-10, The City Boys berjaya berada di depan menerusi tandukan Guilherme de Paula.
Memasuki babak kedua, tuan rumah terus mendominasi permainan, namun itu tidak menghalang Negeri Sembilan untuk merangka asakan.
Pasukan pelawat hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-73, namun tandukan Bruno Suzuki berjaya diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Kamarul Effandi Abdul Rahim.
Kuala Lumpur merentap keyakinan Negeri Sembulan selepas Paulo Josue menyumbang dua jaringan pantas (minit ke-77 dan 80) untuk mereka selesa memimpin permainan.
Bagaimanapun, kebangkitan lewat Negeri Sembilan menerusi Suzuki pada minit ke-83 dan tandukan Farderin Kadir (minit ke-90) gagal mengelak kekalahan pasukan itu.
Sementara itu, Pengarah Teknikal Negeri Sembilan, Peter Steinebrunner, tetap berpuas hati dengan aksi perlawanan itu dengan berkata: "Tahniah kepada kedua-dua pasukan.
"Perlawanan sengit ini bagus untuk mencerminkan saingan Liga Perdana di Malaysia.
"Ia satu persembahan hebat di antara kedua-dua pasukan."
Must-Watch Video