Skip to main content

Bola Sepak

Kuala Lumpur buru jaringan pertama

fabio9218.jpg
Kuala Lumpur tidak mahu terus dirundung malang, sebaliknya melihat ini saat terbaik buat mereka memulihkan keyakinan untuk bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut apabila bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam Liga Super di Stadium KLFA, esok.

Sekalipun berdepan juara bertahan itu, jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Magrao, melahirkan keyakinan pasukannya mampu menghasilkan keputusan positif, dengan dua tonggak importnya, Guilherme de Paula Lucrecio dan Paulo Josue, dapat mengulangi prestasi baik mereka seperti dalam Liga Perdana musim lalu.

"Jaringan akan hadir kerana saya tahu mereka sangat mahukannya. Jadi, kami harus fokus untuk bermain dengan baik tanpa bimbang bertemu pasukan itu," kata Magrao.

Mengenai persiapan pasukan, Magrao berkata tidak ada banyak perubahan, dengan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak dan Mohd Firdaus Faudzi masih belum sedia diturunkan.

Tambahnya, Kamarul Effandi Abdul Rahim yang mendapat kecaman berhubung aksinya ketika menentang Negeri Sembilan pada Rabu lalu, masih dikekalkan sebagai penjaga gol nombor satu pasukan.

"Sebagai manusia mereka hanya melihat satu kesilapan. Tahun lalu, berapa banyak dia menyelamatkan pintu gol.

"Saya percaya dia adalah penjaga gol terbaik di negara ini. Saya pasti kerana saya melihatnya setiap hari," kata Magrao lagi.

Kuala Lumpur kelmarin tewas 2-0 kepada Negeri Sembilan selepas turut kalah 2-0 di tangan Selangor dalam aksi pembukaan pada Ahad lalu.
 

Advertisement

Must Watch Video