PIALA FA
Krisis kecederaan rencat persiapan Gergasi Merah
Selangor dibelenggu kecederaan pemain utama selepas Razman Roslan, Azamuddin Akil dan Joseph Kalang Tie tidak cergas menjelang aksi suku akhir pertama Piala FA bertemu Kuala Lumpur di Cheras, esok.
Azamuddin dan Joseph terkeluar daripada perancangan jurulatih Selangor, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir, berikutan kecederaan mereka masih memerlukan tempoh panjang untuk pemulihan.
Hanya situasi Razman yang masih lagi 50-50 sama ada akan menggalas cabaran selaku watak penting atau sekadar menjadi pemerhati di luar padang.
Iklan
Mengakui situasi itu memberi kesukaran buat Selangor, Nazliazmi bakal melakukan rombakan daripada segi susunan pemain menjelang aksi 'derby' dengan The City Boys.
"Sudah tentu Azamuddin hanya boleh diturunkan dalam masa dua atau tiga minggu lagi.
"Saya menjangkakan dia kembali sewaktu aksi timbal balik bertemu Kuala Lumpur manakala keadaan Razman masih belum dapat dipastikan lagi," kata Nazliazmi.
Dalam perkembangan sama, status sebagai jurulatih Selangor yang disahkan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) minggu lalu memberi kelainan kepada Nazliazmi.
Tekanan yang dibawa kali ini lebih berat jika dibandingkan dengan kemenangan di Kuala Terengganu yang menyaksikannya memainkan peranan jurulatih sementara.
"Saya menganggapnya sebagai satu cabaran buat saya selepas dilantik.
"Saya percaya dengan barisan kejurulatihan sedia ada serta pemain-pemain, diharapkan segala persiapan selama dua minggu ini akan berhasil pada malam esok," tambahnya.
Must-Watch Video