Skip to main content

Bola Sepak

Kraljevic pening kepala cari kemenangan pertama Kelantan

marco-kraljevic.jpg
Ketua jurulatih Kelantan, Marko Kraljevic, pening kepala dalam usahanya mencari kemenangan pertama skuad The Red Warriors itu musim ini ekoran ketiadaan empat pemain muda menjelang pertemuan dengan UKM FC dalam saingan Liga Perdana di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.

Selepas dua perlawanan, Kelantan masih gagal melakar kemenangan apabila tumpas 0-1 kepada Selangor United dalam perlawanan pembukaan sebelum seri 3-3 dengan Sabah, 8 Februari lalu.

Situasi kian rumit buat Kraljevic apabila empat pemain mudanya kini mewakili negara dalam Kejohanan AFF B-22 di Kemboja.

Namun, tiada jalan lain buat Kelantan selain memastikan tiga mata diraih malam ini bagi mengelakkan jurang mata yang lebih besar dengan kelompok atasan liga.

"Ia sentiasa persoalan yang sensitif membabitkan tugasan dengan skuad kebangsaan.

"Setiap pemain mengimpikan untuk mewakili skuad kebangsaan.

"Kami perlu meletakkannya di belakang dan bersikap lebih positif untuk memikirkan jalan terbaik bagi pasukan ini," katanya.

Dalam masa sama, Kraljevic mendedahkan dia tidak tahu mengenai perancangan pihak pengurusan untuk membawa pulang bekas kapten pasukan itu, Badhri Radzi, menjelang tarikh tutup jendela perpindahan, Rabu ini.

Khabar angin itu bertiup kencang selepas pasukan yang diwakili Badhri, Perlis, gagal melangsaikan gaji pemain musim ini. 

"Saya tidak pasti tentang perkara itu.

"Saya tidak dapat memberikan jawapan.

"Saya hanya fokus terhadap apa yang akan terjadi di atas padang kerana itu tugas saya.

"Jadi, saya tidak pasti tentang perkara itu," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video