Pengendali Everton, Ronald Koeman, terkilan dengan aksi 'malas' yang dipamerkan anak buahnya apabila tewas 2-1 kepada Leicester City dalam pusingan ketiga Piala FA.
Everton mengawal sejam pertama perlawanan di Goodison Park dan berada di depan pada minit ke-63 hasil jaringan Romelu Lukaku sebelum Ahmed Musa jadi wira The Foxes dengan dua gol dalam tempoh tiga minit, sekaligus menyaksikan The Toffees tersingkir daripada kejohanan itu.
Koeman kemudiannya melabelkan aksi 'malas' anak buahnya menghadiahkan skuad kendalian Claudio Ranieri kemenangan kedua di tempat lawan musim ini.
"Saya sangat kecewa kerana pada awalnya, kami bermain dengan cukup baik," jelas Koeman dalam kenyataan dimuat naik ke laman sesawang rasmi kelab itu.
"Kami mengawal permainan dan berjaya menjaringkan gol. Bukan mudah untuk melakukannya kerana mereka gemar bertahan.
"Tetapi sukar dipercayai selepas itu, kami hilang kawalan meskipun mendahului 1-0.
"Pemain mula bermain sambil lewa dan tidak sebagus sejam pertama perlawanan dan akhirnya kami dihukum dengan dua gol lawan.
"Saya tidak faham mengapa pemain memperlahankan permainan.
"Mungkin kurang tumpuan jadi faktor.
"Kami tahu Musa seorang pemain yang pantas tetapi mendahului 1-0 tidak bermakna kemenangan sudah dalam genggaman."