Skip to main content

Bola Sepak

Klopp yakin Salah kekal di Anfield

mohamed-salah-cropped_qawltqq6qnq71wjjm08tnh76m.jpg
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, melaungkan keyakinan 100 peratus bahawa Mohamed Salah akan masih bergelar pemain The Kop pada musim depan.
 
Pemain skuad kebangsaan Mesir itu menikmati musim yang terhebat di Anfield apabila menjaringkan 39 gol dalam semua kejohanan, sekali gus menimbulkan laporan Real Madrid berminat untuk mendapatkannya.
 
Klopp memberitahu media Bild pada minggu ini bahawa dia langsung tidak takut tentang kebarangkalian kehilangan khidmat Salah sambil menjelaskan penyerang itu komited dengan kelab.
 
“Ia bukan situasi yang saya fikirkan,” kata pengendali dari Jerman itu.
 
“Salah belum setahun tiba di sini dan dia ke Anfield untuk melangkah ke satu tahap baru dalam kariernya. Walaupun mempunyai pilihan lain, dia memilih untuk ke sini.
 
“Saya yakin dan langsung tidak memikirkannya kerana saya tahu dia akan berada di sini.
 
“Segala spekulasi yang wujud hanyalah disebabkan beberapa individu yang mahukan sesuatu untuk ditulis dan dibualkan. Kami tidak mahu sentiasa berubah kerana kini berpeluang untuk mencipta masa depan yang cerah.
 
“Kami masih muda, berpotensi tinggi dan apa yang saya lihat, semua pemain menikmati masa bersama Liverpool ketika ini.”
 
Sementara itu, Klopp juga memuji pencabar utama Salah dalam senarai penjaring terbanyak ketika ini, Harry Kane, walaupun penyerang England itu dikritik kerana menyokong tindakan pasukannya melakukan rayuan untuk mengesahkan jaringan ketika bertemu Stoke City menjadi miliknya walaupun ia hasil sepakan Christian Eriksen.
 
“Saya tidak meragui kebolehan Kane. Saya mengenalinya. Dia seorang pemain yang hebat dan juga individu yang baik hati. Setiap penyerang harus tampil berbeza,” ujar Klopp.

Advertisement

Must Watch Video