UCL
Klopp bayangkan Oxlade-Chamberlain bakal berehat panjang
Alex Oxlade-Chamberlain nampaknya dalam keraguan besar untuk membuat penampilan dalam Piala Dunia di Russia selepas pemain tengah England itu mengalami kecederaan teruk di lutut dalam kemenangan Liverpool ke atas Roma dalam Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Mohamed Salah dan Roberto Firmino mencetak dua gol untuk kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu mencatat kemenangan 5-2 dalam aksi separuh akhir pertama di Anfield.
Bagaimanapun, Liverpool berdepan detik cemas apabila melepaskan dua gol lewat untuk memberikan Roma harapan menjelang perlawanan timbal balik di ibu negara Itali itu nanti.
Iklan
Oxlade-Chamberlain mengalami kecederaan ketika cuba menyekat Aleksandar Kolarov pada minit ke-15 yang memaksa bekas pemain Arsenal itu diusung keluar.
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, mengesahkan keputusan awal itu tidak baik dan berita itu mencetuskan kebimbangan bukan hanya kepada pengurus kelab, malah pengurus pasukan kebangsaan, Gareth Southgate.
"Oxlade-Chamberlain mungkin mengalami kecederaan yang sangat buruk," kata pengurus Jerman itu kepada BT Sport.
"Sebelum ujian lanjut pun, ia bukan berita baik. Ini tamparan yang besar bagi kami.
"Kami masih mempunyai beberapa permainan yang sangat penting untuk diketengahkan dan kami perlu menggunakan sumber yang ada buat masa ini. Jelas sekali kami perlu kreatif dalam beberapa perlawanan akan datang.
"Kami juga memerlukan penyokong, suasana malam ini cemerlang tetapi pada hari Sabtu nanti diharapkan ia tetap sama, tidak kurang walau sedikit pun kerana kami benar-benar memerlukan penyokong," tambahnya.
Must-Watch Video